Panglima RSAF dianugerahi Lencana Juruterbang Kehormat

Panglima RSAF dianugerahi Lencana Juruterbang Kehormat

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah berkenan menganugerahkan Lencana Juruterbang Kehormat Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) kepada Panglima Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Mejar Jeneral Mervyn Tan Wei Ming.

Sehubungan itu, Penganugerahan Lencana Juruterbang Kehormat TUDB telah diadakan di Pangkalan TUDB Rimba, hari ini, dan disempurnakan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Penghargaan ini adalah sebagai pengiktirafan atas jasa perkhidmatan beliau, yang mengambil alih tugas sebagai Panglima RSAF pada 28 Mac 2016, dalam mengeratkan lagi perhubungan di antara TUDB dan RSAF.

Mejar Jeneral Mervyn Tan Wei Ming ketika dianugerahkan Lencana Juruterbang Kehormat TUDB yang disempurnakan oleh Pemerintah ABDB.
Mejar Jeneral Mervyn Tan Wei Ming ketika dianugerahkan Lencana Juruterbang Kehormat TUDB yang disempurnakan oleh Pemerintah ABDB.

Semasa berada di negara ini, program beliau termasuk mengadakan kunjungan-kunjungan hormat pengenalan kepada Pemerintah ABDB dan rakan sejawat beliau, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah.

Beliau juga akan berada di Negara Brunei Darussalam bagi menyaksikan Eksesais dua hala Air Guard, esok.

ARTIKEL YANG SAMA