Panglima TLDM adakan lawatan pengenalan

Panglima TLDM adakan lawatan pengenalan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Dato Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman bin Haji Ahmad Badaruddin telah mengadakan lawatan pengenalan selama dua hari ke negara ini, hingga kelmarin.

Semasa lawatan tersebut, beliau turut mengadakan kunjungan muhibah kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Majer Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah di Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garisson pada 25 Januari lalu.

Pada hari yang sama, beliau juga mengadakan kunjungan hormat kepada Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad di Pangkalan TLDB, Muara.

Sebelum kunjungan tersebut, beliau telah diberikan kawalan kehormatan oleh pegawai dan anggota TLDB dengan diketuai Leftenan Pengiran Mohd Faren bin Pengiran Mohd Noor.

Selepas kunjungan hormat, Laksamana Dato Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman diberikan taklimat mengenai organisasi TLDB dan disusuli dengan perbincangan di Ibu Pejabat TLDB.

Gambar ramai Laksamana Dato Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman dan Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih serta rombongan pengunjung.
Gambar ramai Laksamana Dato Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman dan Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih serta rombongan pengunjung.
Laksamana Dato Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman menerima cenderahati daripada Timbalan Menteri Pertahanan.
Laksamana Dato Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman menerima cenderahati daripada Timbalan Menteri Pertahanan.

Lawatan beliau itu mencerminkan hubungan istimewa antara Brunei Darussalam dan Malaysia, di mana kedua-dua belah pihak mengambil kesempatan untuk membincangkan aktiviti-aktiviti dua hala seperti Latihan Hornbill, kursus-kursus, mesyuarat, seminar, persidangan dan mengenai pertukaran lawatan serta meneroka kaedah untuk meningkatkan dan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara TLDB dan TLDM.

Laksamana Dato Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman dilantik sebagai Panglima TLDM ke-16 pada 18 November lalu. Beliau sebelum itu menjawat jawatan Timbalan Panglima TLDM selama tiga tahun.

ARTIKEL YANG SAMA