Pantai Sura jadi tumpuan, ribuan kerang terdampar

Pantai Sura jadi tumpuan, ribuan kerang terdampar

DUNGUN, 11 Feb – Pantai Sura Dungun menjadi tumpuan ratusan pengunjung apabila ribuan kerang ditemui terdampar di pantai berkenaan sejak petang kelmarin.

Tinjaun Bernama mendapati orang ramai daripada pelbagai peringkat umur mengambil peluang mengutip kerang berkenaan dengan membawa pelbagai peralatan termasuk plastik, baldi dan bakul bagi mengisi kerang yang dikutip.

Rata-rata orang ramai yang ditemui menyifatkan ribuan kerang itu terdampar selepas fenomena air pasang dan ombak besar yang melanda Terengganu sejak beberapa hari lalu.

Salah seorang pengunjung, Rohani Ismail, 59, dari Kampung Sura Tengah berkata beliau bersama dua lagi anggota keluarganya mengambil peluang mengutip kerang berkenaan selepas melihat orang ramai berkumpul di pantai itu.

“Mulanya kak lalu tepi pantai ni sebab nak pergi rumah kawan, lepas tu tengok ramai orang berkerumun di tepi pantai kutip kerang…kak pun ambil bakul terus ke sini.

“Ni kali pertama kak tengok kerang yang banyak macam ni…tahun lepas pernah jugak kerang naik ke darat selepas ujan (hujan), tapi tak la banyak macam ni,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Bagi seorang penjawat awam, Norlaili Samsinar Ahmad Zawawi, 25, yang berasal dari Pulau Pinang berkata beliau yang pulang bercuti di kampung suaminya turut mengambil peluang untuk mengutip kerang berkenaan.

“Memang ini kali pertama saya tengok sendiri kerang naik begitu banyak…kat tempat saya tak pernah terjadi macam ni, memang saya agak teruja dan terkejut sangat…bagaikan lautan kerang di sepanjang pantai ni. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA