Pantaran Kasih semarak malam perayaan

Pantaran Kasih semarak malam perayaan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kumpulan Putra Seni, mengadakan Majlis Pantaran Kasih bagi menyemarakkan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun 2015.

Persembahan di pentas perayaan berhadapan dengan Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja itu turut menampilkan penggiat sastera dari Kumpulan Gerak DBP.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah DBP, Hajah Aminah binti Haji Momin dan turut disertai Ketua 1 Kumpulan Putra Seni, Awang Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff.

Turut hadir menyaksikan majlis berkenaan ialah penerima SEA Write Award, penulis-penulis DBP dan para pengunjung pentas perayaan.

Hajah Aminah bersama jemputan khas lain di Majlis Pantaran Kasih.
Hajah Aminah bersama jemputan khas lain di Majlis Pantaran Kasih.
Majlis Pantaran Kasih turut menyelitkan acara menambang syair.
Majlis Pantaran Kasih turut menyelitkan acara menambang syair.
Antara persembahan yang ditampilkan di malam perayaan berkenaan.
Antara persembahan yang ditampilkan di malam perayaan berkenaan.

Antara persembahan yang diadakan termasuk koir gabungan DBP dan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, persembahan johan Batuturan Dialek Melayu Kitani khususnya Dialek Melayu Brunei iaitu Dayang Ainaa Zunah Insyirah binti Haji Abdul Manap, menambang syair oleh Awang Abdul Wafiy bin Haji Ibrahim, sketsa lagu kanak-kanak dan lagu puisi oleh Kumpulan Putra Seni.

Majlis turut disemarakkan dengan persembahan deklamasi puisi oleh johan Pertandingan Deklamasi Puisi Ramadan iaitu Hajah Armah binti Haji Bair dan deklamasi sajak oleh Pengiran Kamarudin bin Pengiran Haji Othman yang merupakan Ketua II Kumpulan Putra Seni dan Haji Asri bin Haji Emin.

ARTIKEL YANG SAMA