Pantau bacaan Khatam Al-Quran 69 kali

Pantau bacaan Khatam Al-Quran 69 kali

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Jawatankuasa Pemantauan Majlis Khatam Al-Quran 69 Kali Ahli-Ahli Majlis Perundingan Kampung bagi Daerah Belait, kelmarin, telah menjalankan pemantauan pembacaan para peserta di Masjid Pekan Seria.

Hadir di majlis itu ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman, selaku Pengerusi Ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-69 Tahun Bagi Daerah Belait.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yussof bin Haji Dulamin, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Khatam Al-Quran 69 Kali Peringkat Daerah Belait.

Majlis Khatam Al-Qur’an 69 Kali Khatam bagi ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Seluruh Negara ini merupakan salah satu acara Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Belait, pada tahun ini, Majlis Khatam Al-Quran 69 Kali Khatam melibatkan seramai 276 pembaca daripada majlis-majlis perundingan kampung yang terdiri daripada empat kategori iaitu 69 orang peserta lelaki dewasa, 69 peserta belia, 69 peserta wanita dewasa dan 69 peserta beliawanis.

Antara peserta Khatam Al-Quran 69 Kali Ahli-Ahli Majlis Perundingan Kampung bagi Daerah Belait,
Antara peserta Khatam Al-Quran 69 Kali Ahli-Ahli Majlis Perundingan Kampung bagi Daerah Belait,

Majlis khatam ini antara lain adalah bagi menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir selain untuk menzahirkan rasa syukur rakyat dan penduduk negara ini kepada Allah Subhanahu Wataala di atas limpah rahmat dan nikmatNya menjadikan negara ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera di bawah kepimpinan bijaksana Baginda Sultan.

Pembacaan Al-Quran sehingga khatam diadakan di masjid-masjid di seluruh negara dan setiap bacaan akan diniatkan khusus untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia, dengan memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga Baginda dilanjutkan usia dan sihat walafiat serta kekal qarar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan petunjuk Allah SWT.

ARTIKEL YANG SAMA