Pantau bacaan Khatam Al-Quran 70 kali

Pantau bacaan Khatam Al-Quran 70 kali

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Azrol Azmi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Pemantauan Majlis Khatam Al-Quran 70 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seluruh Negara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 mula dilaksanakan, hari ini.

Tumpuan pertama pemantauan adalah di Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong telah mengetuai rombongan Jawatankuasa Tertinggi Majlis Khatam Al-Quran 70 Kali Khatam, Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seluruh Negara Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi majlis pemantauan berkenaan.

Majlis itu disertai seramai 70 orang pembaca lelaki dan 70 orang pembaca perempuan dewasa, 70 orang belia lelaki dan 70 orang belia perempuan, 135 orang kanak-kanak lelaki dan 135 orang kanak-kanak perempuan yang terpilih untuk mewakili Daerah Brunei dan Muara.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb berkenan turut serta dalam majlis tersebut.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb berkenan turut serta dalam majlis tersebut.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika memantau bacaan para peserta.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika memantau bacaan para peserta.
Sebahagian yang menyertai bagi kumpulan wanita.
Sebahagian yang menyertai bagi kumpulan wanita.

Turut hadir pada Majlis Khatam Al-Quran itu ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb.

Pada majlis itu, para peserta menghabiskan bacaan Al-Quran masing-masing sehingga 30 Juzuk sebelum berlangsungnya Majlis Khatam Al-Quran 70 kali Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Dalam kenyataannya hari ini, Jabatan Daerah Brunei dan Muara menyatakan, acara keagamaan seperti itu merupakan manifestasi penghayatan terhadap konsep Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai sistem yang mengatur cara hidup di negara ini ke arah perpaduan dan kesejahteraan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan diikuti dengan bacaan doa khusus oleh imam Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah bagi memohon doa ke hadrat Allah S.W.T semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia dilanjutkan usia dan sihat serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan petunjuk Allah, sebelum para peserta menyambung pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Juzuk ke-14.

Turut hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta pemangku pegawai Daerah Brunei dan Muara.

ARTIKEL YANG SAMA