Pantau kebersihan premis perniagaan, rumah pangsa

Pantau kebersihan premis perniagaan, rumah pangsa

SAYA ingin menyarankan kepada pihak-pihak kawalan kemajuan dan pembinaan bangunan agar mereka dapat memantau dan menjalankan pemeriksaan di kawasan bangunan premis perniagaan dan kedai-kedai kawasan bandar, rumah pangsa dan sebagainya di seluruh negara agar mengingatkan pemilik-pemiliknya untuk sentiasa menjaga kebersihan di sekeliling mereka.

Ini adalah kerana, apa yang saya perhatikan dan dapati, terdapat segelintir kawasan perniagaan terkenal seperti di Kiulap, Kiarong, Gadong, Batu Satu, Serusop dan Sengkurong, terutama di belakang-belakang bangunan menunjukkan satu pemandangan yang memualkan dengan sampah bertaburan, tempat penyimpanan air kumbahan bocor dan melimpah sehingga menerbitkan bau yang tidak menyenangkan.

Perkara-perkara sebegini ditambah lagi dengan keadaan jalan berlopak-lopak, dan berlubang sehingga menakung air kumbahan dan sampah sarap tadi boleh mewujudkan satu persekitaran yang tidak bersih dan boleh mengundang pelbagai penyakit apabila ia dihurungi lalat, anjing, tikus, nyamuk dan sebagainya yang boleh membawa kemudaratan dan tersebar kepada manusia.

Serperkara lagi, bilik-bilik air di restoran-restoran juga perlu diperiksa dan bukan hanya kebersihan itu dilihat di bahagian dapur namun di keseluruhan premisnya, terutamanya dari aspek keselamatan juga seperti kebakaran.

Diharap pihak-pihak berkenaan dan agensi-agensi kerajaan akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan jujur, telus dan menjalankan pemeriksaan mengejut pada bila-bila masa sahaja tanpa pilih kasih dan menghindari rasuah demi mementingkan kesejahteraan dan kebajikan semua orang di bumi Darussalam ini khususnya dan amnya pengunjung dan pelancong ke negara ini.

– Awang Marol, BSB

ARTIKEL YANG SAMA