Pantau kejiranan mukim

Pantau kejiranan mukim

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 22 Ogos – Operasi rondaan pencegahan jenayah telah dijalankan lagi dengan melibatkan anggota Balai Polis Sungai Liang dan ahli Pengawasan Kejiranan Mukim Liang-Lumut yang menyasarkan beberapa kawasan bagi terus memastikan tiada sebarang aktiviti jenayah dilakukan di sini.

Rondaan secara berjalan kaki dan menggunakan kenderaan tersebut, telah menyasarkan kawasan Bangunan Komersial Soon Lee Sungai Liang, kawasan Perumahan dan Perumahan Teres Kampung Lumut, kawasan Rumah Api Kampung Sungai Kayu Ara, serta Jalan Kecil Kampung Sungai Bakong Lumut.

Selain itu, turut diperiksa sama melalui rondaan itu adalah kawasan rumah yang tiada berpenghuni di Simpang 76, Jalan Kecil Sungai Bakong Lumut dan kawasan Kampung Sungai Kang serta Balai Raya Kampung Lumut, bagaimanapun, sepanjang rondaan itu tidak mendapati sebarang aktiviti jenayah.

Rondaan tersebut telah melibatkan penyertaan tiga orang anggota Balai Polis Sungai Liang dan tujuh orang ahli Pengawasan Kejiranan Mukim Liang Lumut serta tiga orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Liang, dua ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 1 dan dua ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 2.

Operasi rondaan itu telah diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Mohd Soffian bin Haji Kiffli, dan disertai sama oleh Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Mohd Ibrahim bin Datu Maharaja Setia Dian.

Dalam operasi yang turut memeriksa pondok jualan buah-buahan di tepi jalan Lebuh raya Lumut-Telisai.
Dalam operasi yang turut memeriksa pondok jualan buah-buahan di tepi jalan Lebuh raya Lumut-Telisai.

Sementara itu, operasi rondaan juga telah diadakan pada malam Khamis lalu, bagi pemeriksaan secara berjalan kaki dan menggunakan kenderaan di sekitar kawasan Perumahan STKRJ Kampung Lorong Tiga Selatan Seria dan kawasan Berek Kerajaan Kampung Lorong Tiga Selatan Seria.

Operasi tersebut melibatkan penyertaan tujuh orang anggota Balai Polis Seria dan 13 orang ahli Pengawasan Kejiranan STKRJ Kampung Lorong Tiga Selatan Seria dengan diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Seria, ASP Mohd Zulhelmi Azmi bin Dato Paduka Haji Abd Aziz.

Turut serta ialah Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Seria, P/ASP Haji Mohd Helmi bin Haji Abdullah, Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim.

Walau bagaimanapun, sepanjang operasi itu dijalankan tiada sebarang aktiviti jenayah didapati.

Antara yang terlibat dalam Operasi Rondaan Pencegah Jenayah di Mukim Liang.
Antara yang terlibat dalam Operasi Rondaan Pencegah Jenayah di Mukim Liang.

Manakala itu, pada 18 Ogos lalu, operasi pencegahan jenayah juga telah dilakukan oleh seramai lima orang anggota Balai Polis Sungai Liang dan enam orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Liang-Lumut yang dijalankan pada waktu siang.

Operasi tersebut telah diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Mohd Soffian bin Haji Kiffli, dan pemeriksaan telah dilakukan di kawasan jalan Lebuh raya Lumut-Telisai dengan menggunakan kenderaan.

Turut diperiksa adalah dua buah pondok tempat menjual buah-buahan di kawasan tepi jalan berkenaan, kemudian rondaan dibuat di kawasan Perumahan Lumut seterusnya tempat kawasan tegahan pembuangan sampah, dan dalam pemeriksaan di sana mendapati sampah sarap berselerak dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Rondaan kemudiannya diteruskan di kawasan pembetungan dan kawasan Perumahan Lumut sebelum operasi diakhiri hampir pukul 12 tengah hari.

ARTIKEL YANG SAMA