Pantau keselamatan kampung

Pantau keselamatan kampung

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

BANDAR SERI BEGAWAN/SERIA, 2 Nov – Operasi rondaan gabungan anggota polis dari Balai Polis Sungai Liang dan ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 1 yang dijalankan di sekitar kawasan Mukim Liang-Lumut selama hampir tiga jam, malam kelmarin, tidak ada mendapati sebarang aktiviti jenayah dilakukan.

Pasukan yang memulakan operasi pada jam 11:30 malam hingga pukul 2:00 pagi tadi itu, telah membuat rondaan di sekitar mukim berkenaan, bagaimanapun ekoran cuaca hujan, rondaan kemudiannya diteruskan dengan menggunakan kenderaan menyasarkan kawasan Jalan Kecil Pantai Sungai Liang, Kampung Sungai Bakong sehingga ke Kampung Sungai Kayu Ara Lumut, serta di kawasan Perumahan Awam Kampung Lumut.

Rondaan yang diketuai Pegawai Penguasa Balai Polis Sungai Liang, Inspektor Mohd Sofian bin Haji Kifli itu juga melibatkan seramai lima anggota Balai Polis Sungai Liang, dua ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 1, seorang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Lumut 2 dan dua ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Sungai Liang.

Turut sama dalam operasi berkenaan ialah Ketua Kampung Lumut 2, Haji Abdul Rahman bin Hassim.

Antara pasukan yang terlibat menyertai Operasi Pencegahan Jenayah di kawasan Mukim Liang-Lumut malam kelmarin.
Antara pasukan yang terlibat menyertai Operasi Pencegahan Jenayah di kawasan Mukim Liang-Lumut malam kelmarin.
Anggota Balai Polis Limau Manis bersama ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Bebuloh mengadakan operasi cegah jenayah di sekitar Kampung Bebuloh.
Anggota Balai Polis Limau Manis bersama ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Bebuloh mengadakan operasi cegah jenayah di sekitar Kampung Bebuloh.

Operasi pencegahan jenayah secara berterusan itu antara lain bertujuan untuk memantau keselamatan penduduk-penduduk kampung dan juga untuk mencegah aktiviti jenayah di kawasan terbabit.

Sementara itu, anggota Balai Polis Limau Manis dan ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Bebuloh turut mengadakan operasi serupa baru-baru ini di kawasan jagaan Ketua Kampung Bebuloh dan hujung Pos Polis Kawalan Bebuloh.

Rondaan cegah jenayah yang dijalankan bersama anggota gabungan seramai 21 orang itu diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Limau Manis, Inspektor Haji Mohd Shamsul Bahreen bin Haji Awang Abu Bakar dan Ketua Kampung Bebuloh Haji Mohd Sa’id bin Tundak.

Menurut kenyataan yang diterima, operasi rondaan tidak mendapati sebarang kesalahan untuk diambil tindakan setelah pemantauan dilakukan di kawasan hujung jalan dan memeriksa penyeludupan barang-barang tegahan.