Pantau keselamatan kejiranan

Pantau keselamatan kejiranan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 9 Mac – Operasi Rondaan Mencegah Jenayah yang melibatkan penyertaan anggota polis dan ahli Pengawasan Kejiranan Sungai Liang, telah diadakan hari ini bagi memantau kejadian jenayah di sekitar kawasan berkenaan.

Operasi tersebut telah dilakukan dengan memantau kawasan rumah kosong di sekitar Jalan Kampung Sungai Bakong, Jalan Pantai Lumut dan kawasan Perumahan Lumut hingga ke kawasan Kampung Sungai Kayu Ara.

Operasi yang melibatkan seramai tiga orang ahli Balai Polis Sungai Liang bersama empat orang ahli Pengawasan Kejiranan itu diketuai oleh Sarjan Zulhelmi bin Abdullah bersama Lans Koperal Azhar bin Haji Azmain serta Lans Koperal Affendy bin Haji Ibrahim.

Sementara itu dalam operasi berasingan malam tadi, seramai 11 orang ahli Balai Polis Kuala Belait bersama lima ahli Pengawasan Kampung Sungai Teraban diketuai oleh Sarjan Jailani bin Haji Johari, turut serta Ketua Kampung Sungai Teraban Haji Morshidi bin Sara.

Antara yang terlibat dalam operasi Pencegahan Jenayah di Sungai Liang sesi pagi.
Antara yang terlibat dalam operasi Pencegahan Jenayah di Sungai Liang sesi pagi.

Operasi tersebut telah diadakan selama kira-kira tiga jam bermula pukul 10:30 malam sehingga kira-kira pukul 1 pagi tadi.

Bagaimanapun tiada sebarang kegiatan jenayah ditemukan semasa diadakan kedua-dua operasi tersebut hari ini dan malam tadi.

Sementara itu dalam usaha mencegah jenayah, Unit Perhubungan Awam Polis meminta kerjasama daripada orang ramai supaya tidak meninggalkan atau menyimpan peralatan seperti tangga di luar rumah, selain tidak membiarkan barang-barang seperti mesin rumput dan sebagainya yang boleh menarik perhatian penjenayah.

Unit tersebut juga mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak membiarkan rumah ditinggalkan kosong dalam jangka yang lama dan supaya dapat memaklumkan kepada mana-mana balai polis yang berdekatan, bagi memudahkan pihak polis membuat pemantauan dan rondaan, bagi mengelakkan kejadian pecah rumah dan curi.

ARTIKEL YANG SAMA