Pantau peraturan pembesar suara masjid

Pantau peraturan pembesar suara masjid

JAKARTA, 26 Jun (dpa) – Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla merancang menubuhkan sebuah pasukan untuk memantau dan mengekang bunyi bising daripada pembesar suara masjid, menurut seorang pegawai hari ini.

Kalla, yang merupakan pengerusi Majlis Masjid Indonesia, pada awal bulan ini menggesa pengurusan masjid supaya berhenti menyiarkan rakaman ceramah melalui pembesar suara masjid sambil berkata ia akan mengganggu para jemaah lain.

“Satu pasukan akan mengumpul fakta mengenai bunyi yang tidak bertepatan dengan masanya disiarkan melalui pembesar suara masjid” di bandar-bandar besar, kata jurucakap Kalla, Husain Abdullah.

Naib Presiden “percaya tempoh masa perlu diukur dan liputan suara tidak sepatutnya melepasi kawasan lingkungan masjid agar ia tidak bertindih dengan suara-suara dari masjid di kawasan kejiranan lain,” kata Husain.

Garis panduan mengenai penggunaan pembesar suara dikeluarkan kerajaan berdekad-dekad lepas, termasuk peraturan bagi masjid menggunakan hanya pembesar suara di dalam masjid bagi aktiviti selain daripada mengumandangkan azan, tetapi ia kerap diabaikan.

ARTIKEL YANG SAMA