Pantau perkembangan, masalah mukim

Pantau perkembangan, masalah mukim

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Rombongan Majlis Perundingan Mukim (MPM) Berakas ‘A’, hari ini, telah mengadakan lawatan ke kampung-kampung di bawah mukim tersebut bagi melihat perkembangan-perkembangan serta masalah yang timbul di dalam mukim berkenaan.

Lawatan berkenaan adalah bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Anugerah Kampung Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2009 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas, bahawa majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) perlu untuk menjadi jentera penggerak, pemikir dan perancang bagi pembangunan masyarakat di kawasan masing-masing.

Ia juga merupakan kesinambungan bagi Resolusi Perhimpunan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung 2007 yang diadakan pada 7 hingga 9 Ogos 2007.Rombongan telah diketuai oleh Penghulu Mukim Berakas ‘A’, Haji A. Ahmad bin Haji Husin dan disertai oleh ketua-ketua kampung di Mukim berkenaan berserta isteri masing-masing, ahli-ahli MPM dan wakil dari Pejabat Daerah Brunei dan Muara.

Sebelum lawatan diadakan, Media Permata sempat menemu bual Haji A. Ahmad yang menjelaskan bahawa lawatan ke kampung-kampung berkenaan bukanlah kali pertama diadakan, akan tetapi sudah dilaksanakan empat kali.

“Ini adalah untuk melihat perkembangan kampung sama ada terdapatnya kemajuan atau kelemahan. Daripada hasil yang akan didapati nanti, sekiranya ada terdapatnya kelemahan, maka kami akan hadapkannya kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Rombongan bergambar ramai di rumah kediaman Ketua Kampung STKRJ Lambak Kiri dan Kawasan Sekitarnya.
Rombongan bergambar ramai di rumah kediaman Ketua Kampung STKRJ Lambak Kiri dan Kawasan Sekitarnya.

“Ia adalah bagi memberikan sokongan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjadikan rakyat Baginda dalam keadaan yang aman dan sejahtera. Di samping itu juga, secara tidak langsung ketua-ketua kampung serta MPMK dapat menghubungkan lagi tali silaturahim dengan lebih erat,” tambah beliau.

Rombongan telah bertolak dari Pejabat Daerah Brunei dan Muara dengan menaiki sebuah bas menuju ke rumah kediaman Ketua Kampung STKRJ Lambak Kiri dan Kawasan Sekitarnya, Haji Mohd Zain bin Abdul Karim, sebagai destinasi pertama lawatan berkenaan.

Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh Haji Mohd Zain dan ahli-ahli majlis perundingan kampung (MPK) berkenaan, dan dalam lawatan itu mereka mendengar ucapan alu-aluan ketua kampung sebelum sesi pertanyaan, serta menikmati jamuan ringan.

Rombongan kemudian meneruskan lawatan ke kampung-kampung bagi melihat perkembangan dan masalah-masalah yang dihadapi, bermula dari Kampung STKRJ Lambak Kiri dan kawasan sekitarnya, Kampung Lambak B, Kampung Lambak A, Kampung Pancha Delima, dan Kampung Jaya Setia.

Timbalan Pengerusi MPM Berakas ‘A’, Pengiran Haji Mohd Salleh bin Pengiran Haji Kamaluddin memberitahu Media Permata,daripada lawatan berkenaan, didapati bahawa salah satu resolusi berkenaan telah dilaksanakan dengan baik iaitu dalam bersedia untuk meningkatkan kerjasama kepada kepimpinan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi memeduli anak-anak buah mukim dan kampung masing-masing tanpa memilih-milih dan bersedia melayani mereka dengan sama rata.

Didapati sebuah gerai di Kampung Pancha Delima dalam keadaan yang kosong dan tidak terurus.
Didapati sebuah gerai di Kampung Pancha Delima dalam keadaan yang kosong dan tidak terurus.

“Kami telah mendapati bahawa resolusi berkenaan telah dikendalikan dengan baik di mana di mukim kami, seramai 200 orang telah menerima bantuan dari segi ekonomi oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) hasil daripada pemedulian berkenaan,” jelas Pengiran Haji Mohd Salleh.

Menurut beliau lagi, untuk menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia agar produk Satu Kampung Satu Produk (1K1P) dapat mengeksport produk-produknya ke luar negera, MPMK Berakas ‘A’ dengan bantuan serta kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan juga merancang untuk mengungkayahkan Projek Akuakultur Kerapu Merah.

Menurut kajian pakar akuakultur Taiwan, projek itu boleh menghasilkan Kerapu Merah sebanyak 100 tan setiap tahun dan pengeluaran eksport bernilai AS$2.5 juta, yang membawa keuntungan kasar bernilai AS$1.5 juta pada setiap tahun kepada Koperasi Kampung dan Mukim Negara Brunei Darussalam (KOKAMI) Berhad, tambah beliau.

Selain itu, lawatan juga mendapati bahawa terdapat tempat-tempat yang terjejas oleh sampah sarap di kawasan Mukim Berakas ‘A’.

“Seperti yang kita nampak semasa menjalani lawatan berkenaan, terdapat banyak sampah sarap yang terbiar. Oleh yang demikian, ini perlu dilaporkan kepada pihak berkenaan iaitu JASTRe (Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi) untuk mengambil tindakan terhadap kes berkenaan.”

Dalam lawatan itu, rombongan juga melawat Pos Polis di Terunjing, Kampung Lambak ‘A’, yang baru ditubuhkan.

Sejak penubuhan pos berkenaan, rombongan telah dimaklumkan bahawa kadar jenayah semakin berkurangan dan penubuhan pos berkenaan sangat berguna bagi keselamatan dan keselesaan para penduduk kampung, ujar Pengiran Haji Mohd Salleh.

Masalah lain yang ditimbulkan semasa lawatan itu termasuk gerai jualan yang kosong, rumah kosong yang terbiar, dan rumput-rumput panjang, yang mana MPM Berakas ‘A’ berusaha untuk mencari jalan penyelesaiannya dalam menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, ‘Penggerak, Pemikir, Perancang’.