Pantau tempat berlangsung Olimpik Rio

Pantau tempat berlangsung Olimpik Rio

LAUSANNE, Switzerland, 20 April (AP) – Persekutuan Olimpik Antarabangsa (IOC) melahirkan rasa bimbang terhadap masalah tempat penganjuran menjelang Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, pada Ogos depan.

Dua pegawai atasan IOC akan dihantar ke Rio untuk lawatan yang kerap bagi memantau persiapan akhir sukan itu yang pertama kali berlangsung di Amerika Selatan.

Persekutuan Sukan Antarabangsa Olimpik (ASOIF) mengkaji semula status Sukan Olimpik Rio yang akan membuka tirai dalam tempoh kurang daripada empat bulan lagi iaitu pada 5 Ogos depan.

“Mereka tercicir beberapa maklumat yang sangat penting dalam beberapa acara sukan,” kata Presiden ASOIF, Francesco Ricci Bitti pada mesyuarat tahunan kumpulan itu ketika persidangan SportAccord di Lausanne.

Ricci Bitti memberitahu perwakilan bahawa Presiden IOC, Thomas Bach “bimbang seperti anda dan saya” berkenaan butiran untuk temasya di Rio.

Pengarah sukan Rio mengakui persiapan selama tujuh tahun bagi 28 acara Sukan Olimpik di bandar berkenaan tidak sempurna atau tidak melebihi jangkaan tetapi berkata sukan itu tetap akan berjaya.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa atlet tidak akan mempunyai sebarang masalah semasa kejohanan, dalam apa saja acara,” kata Agberto Guimaraes.