PAP Hajah Masna berangkat ke Singapura

PAP Hajah Masna berangkat ke Singapura

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (gambar), telah berkenan berangkat ke Singapura bagi lawatan selama tiga hari bermula hari ini hingga 22 April.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, lawatan Yang Teramat Mulia itu adalah atas jemputan Menteri Kanan Negara, di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kementerian Pengangkutan, Singapura, Josephine Teo yang akan menghoskan majlis makan tengah hari bagi mengalu-alukan lawatan Yang Teramat Mulia.

pg03_160421_c

Dalam lawatan itu, Yang Teramat Mulia juga akan berkenan mengadakan pertemuan dengan Speaker Parlimen, Halimah Yacob; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Teo Chee Hean; Menteri Perhubungan, Kebudayaan dan Belia, Grace Fu; dan Menteri Kanan Negara, Kementerian Hal Ehwal Luar Negara dan Kementerian Pertahanan, Dr Mohamad Maliki bin Osman.

Di samping itu, Yang Teramat Mulia akan melawat Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Dewan Parlimen dan Galeri Kebangsaan Singapura.

Menurut kenyataan itu, lawatan berkenaan merupakan yang terkini dalam siri pertukaran kerap di antara pemimpin-pemimpin Singapura dan Brunei, serta mengesahkan lagi hubungan baik dan berpanjangan di antara kedua-dua buah negara.

Lawatan rasmi terakhir Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Masna ke Singapura adalah pada Mei 2015.

ARTIKEL YANG SAMA