Paparan kedua unik

MEIZU telah mengembangkan portfolionya dengan melancarkan dua telefon pintar baru di China, hujung bulan lalu, Meizu Pro 7 dan Meizu Pro 7 Plus yang mengetengahkan ciri unik iaitu paparan AMOLED kedua di belakang.

Paparan kedua berkenaan menunjukkan masa, pemberitahuan, cuaca dan juga berfungsi sebagai skrin selfie bagi mengambil gambar potret dari kamera belakang. Skrin kecil itu terletak di sebelah atas kiri, dengan dua kamera di atasnya.

Ini merupakan satu ciri yang agak unik, belum pernah dilihat pada telefon-telefon pintar komersial setakat ini, namun begitu, bagaimana ia akan memberi impak ke atas keseluruhan ketahanan dan sama ada ia betul-betul mesra pengguna belum lagi dapat dipastikan.

Dari segi rekaan, kedua-dua Meizu Pro 7 dan Meizu Pro 7 Plus menonjolkan rangka metalik nipis dengan sensor dua kamera dan skrin kedua di belakang.

Punat utama di depan menempatkan pengimbas cap jari dan port USB Type-C, dan gril pembesar suara terletak tepi bawah peranti. Punat kuasa dan bunyi pula terletak di tepi kiri dan peranti ini juga didatangkan dengan jek audio 3.5mm.

Meizu Pro 7 beroperasi menggunakan Flyme OS 6 berasaskan Android 7.0 Nougat dan menyokong dua kad SIM.

Telefon pintar ini menonjolkan paparan Super AMOLED HD-Penuh (1080×1920 piksel) 5.2 inci di depan dan paparan kedua Super AMOED (240×536 piksel) 1.9 inci dengan densiti 307ppi di belakang.

Peranti ini dikuasakan dengan pemproses lapan teras MediaTek Helio P25 berkelajuan 2.5GHz dengan GPU Mali-T880 dan storan dalaman 64GB. Ia juga mempunyai satu lagi varian yang dikuasakan dengan pemproses 10nm 10 teras MediaTek Helio X30 berkelajuan 2.6GHz dengan GPU PowerVR 7XTP-MP4 dan storan dalaman 128GB. Kedua-dua varian mempunyai RAM 4GB.

Dari segi optiknya, Meizu Pro 7 menonjolkan dua kamera 12MP di belakang (monokrom + RGB) dengan apertur f/2.0, PDAF dan denyaran LED. Di depan pula terdapat sensor 16MP dengan apertur f/2.0.

Ia disokong dengan bateri 3000mAh dengan sokongan bagi pengecasan pantas mCharge. Pilihan sambungannya pula termasuk 4G VoLTE , WiFi 802.11ac, Bluetooth 4.2 dan GPS. Meizu Pro 7 mempunyai berat 164g dan dimensi 147.62×70.72×7.3mm.

Meizu Pro 7 Plus pula menonjolkan paparan Super AMOLED Quad HD (1440×2560 piksel)
5.7 inci dan paparan kedua serupa di belakang seperti Pro 7.

Varian besar ini dikuasakan dengan pemproses 10 teras 10nm MediaTek Helio X30 berkelajuan 2.6GHz dengan GPU PowerVR 7XTP-MP4 dan RAM 6GB. Ia menawarkan pilihan storan dalaman 64GB dan 128GB.

Meizu Pro 7 Plus mempunyai kapasiti bateri sehingga 3500mAh dengan sokongan bagi pengecasan pantas mCharge 4.0. Dengan berat 170g, peranti ini mempunyai dimensi 157.34×77.24×7.3mm.