PAPRSB IHS me...

PAPRSB IHS meterai MoU bersama Thailand

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Hospital Nopparat Rajathanee, Thailand mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dalam bidang perubatan dan pertukaran penuntut serta kakitangan menerusi penandatangan memorandum persefahaman (MoU).

Majlis penandatangan MoU itu berlangsung di Bangunan Tambahan PAPRSB IHS, UBD, hari ini, di mana menandatangani bagi pihak UBD ialah Dekan PAPRSB IHS, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif dan bagi pihak Hospital Nopparat Rajathanee ialah Pengarah Hospital Nopparat Rajathanee, Dr Somboon Tosborvorn.

Hadir di majlis penandatangan berkenaan ialah Duta Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Biravij Suwanpradhes; Penolong Naib Canselor bagi Penyelidikan dan Inovasi, UBD, Profesor David Koh; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Kementerian Kesihatan Awam, Thailand, Dr Theerapol Topanthanont serta pegawai-pegawai kanan UBD dan Hospital Nopparat Rajathanee.

Dr Hajah Rafidah dalam kata alu-aluannya berkata, penandatanganan MoU itu akan meningkatkan lagi kerjasama aktif di antara UBD dan Hospital Nopparat Rajathanee.

Beliau turut berkata, ia akan membina ke atas projek ASEAN untuk membangunkan Kriteria Diagnostik bagi Penyakit-penyakit Pekerjaan (Occupational) serta akan membantu untuk mengembangkan lagi peluang bagi penuntut-penuntut UBD untuk belajar atau mengambil program elektif di Hospital Nopparat Rajathanee.

Penandatanganan memorandum persefahaman di antara PAPRSB IHS, UBD dan Hospital Nopparat Rajathanee, Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Kementerian Kesihatan Awam Thailand.
Penandatanganan memorandum persefahaman di antara PAPRSB IHS, UBD dan Hospital Nopparat Rajathanee, Jabatan Perkhidmatan Perubatan, Kementerian Kesihatan Awam Thailand.
Biravij Suwanpradhes bergambar ramai dengan pegawai-pegawai kanan dari UBD dan Hospital Nopparat Rajathanee selepas majlis penandatanganan memorandum persefahaman itu.
Biravij Suwanpradhes bergambar ramai dengan pegawai-pegawai kanan dari UBD dan Hospital Nopparat Rajathanee selepas majlis penandatanganan memorandum persefahaman itu.

Sementara itu, Dr Theerapol Topanthanont dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa kerjasama dalam perubatan pekerjaan di antara kedua-dua institut berkenaan akan menyumbang kepada pembangunan teknologi dan ilmu pengetahuan bagi kedua-dua buah negara pada masa hadapan.

Manakala itu, pertukaran kepakaran perubatan dalam perubatan pekerjaan termasuk penyelidikan dan pembangunan di antara kedua-dua belah pihak merupakan langkah pertama ke arah pembangunan teknologi serta ilmu perubatan dan akademik.

Hasil daripada komitmen ini adalah kewujudan pertukaran kakitangan, latihan, kerjasama, lawatan teknikal dan penyelidikan di antara kedua-dua agensi.

Hospital Nopparat Rajathanee merupakan pusat kesihatan pekerjaan kebangsaan unggul di Thailand di mana ia memberi penekanan kepada diagnosis, rawatan dan pencegahan penyakit menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi serta bertindak sebagai Autoriti Kesihatan Kebangsaan.

Kerja-kerja mereka tertumpu pada diagnosis penyakit-penyakit alam sekitar dan pekerjaan, merangka garis panduan kebangsaan, membangun standard bagi pemantauan kesihatan, merangka kursus-kursus latihan dan pembangunan kapasiti.

Menerusi MoU itu, ia memberikan kedua-dua institut berkenaan rangka kerja penubuhan lebih banyak kerjasama dari segi pertukaran kakitangan dan penuntut, mengetepikan caj bagi kehadiran timpal balik untuk kursus-kursus pendek yang relevan, seminar bersama dan pembangunan projek penyelidikan bersama.