Papua New Guinea lantik wakil khas ke ASEAN

Papua New Guinea lantik wakil khas ke ASEAN

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) – Papua New Guinea, yang berharap untuk menjadi anggota penuh ASEAN, akan melantik wakil khas untuk mengendalikan hal ehwal berkaitan ASEAN, kata Dutanya Peter H. Ilau.

Pelantikan itu mencerminkan komitmen negaranya untuk menjadi sebahagian perkumpulan 10 negara anggota itu dan mempercepatkan proses itu, katanya. Ilau mengetuai delegasi Papua New Guinea ke Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan yang diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

“Wakil khas yang dilantik itu nanti akan meneliti isu-isu multilateral dalam ASEAN serta prasyarat yang diperlukan sebelum menjadi anggota penuh perkumpulan itu. “Ini akan dijadikan sebagai garis panduan bagi kami sebelum negara kami mengemukakan permohonan rasmi kepada ASEAN,” katanya kepada Bernama di sini pada Isnin. Ilau, yang merupakan Duta Papua New Guinea ke Indonesia, berkata kebanyakan prasyarat berkenaan adalah berkaitan ekonomi seperti membina kapasiti dari segi dagangan, aturan import dan eksport serta perniagaan antara rakyat dengan rakyat.

“Kami faham negara-negara anggota sedang memberi tumpuan pada integrasi bagi mencapai matlamat menjadi komuniti ekonomi menjelang akhir 2015. Kami mengambil perhatian tentang perkara itu dan sedang mengambil langkah perlu untuk membuat persediaan bagi tujuan itu.

ARTIKEL YANG SAMA