Para pelombong Bulgaria tamat mogok lombong

Para pelombong Bulgaria tamat mogok lombong

SOFIA, 14 Okt – Lebih 100 pekerja di lombong arang batu coklat di barat daya Bulgaria menamatkan mogok mereka lewat kelmarin selepas menghabiskan lebih 60 jam berada di bawah tanah sekitar 500 meter, menurut para pegawai hari ini.

Lelaki berkenaan mula keluar dari lombong berkenaan dalam kumpulan kecil lewat malam semalam selepas pengurusan lombong Babino, yang menjadi sebahagian besar kompleks perlombongan Bobov dol, mula membayar gaji mereka yang ditangguhkan.

Bayaran itu diteruskan pada sepanjang malam.

“Malam semalam berakhir dengan optimis namun penyelesaian terakhir bagi nasib lombong dan ratusan keluarga pelombong masih lagi menjadi tanda tanya,” ombudsman Bulgaria, Maya Manolova memberitahu televisyen swasta bTV hari ini selepas menghabiskan lebih lapan jam di dalam lombong, memujuk para pelombong agar keluar.

Kira-kira 131 lelaki enggan meninggalkan lombong selepas syif mereka ber-akhir pada Selasa untuk menuntut gaji yang belum dibayar sejak Ogos dan kupon makanan selama lapan bulan dan menekan permintaan tempatan bagi mengkaji semula rancangan penutupan lombong Babino.

Lebih puluhan pekerja dibawa keluar oleh pasukan perubatan selepas didapati tidak sihat. – AFP