Para pemimpin tiba bagi NBOS

Para pemimpin tiba bagi NBOS

SEPANG, 15 Ogos – Beberapa pemimpin dari seluruh dunia mula tiba di sini hari ini untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (NBOS) yang julung kali diadakan dan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), bermula esok hingga 18 Ogos.

Pemimpin pertama yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah Presiden Nauru Baron Waqa dan diiringi isterinya Louisa Waqa, pada jam 3:40 pagi.

Sebaik tiba, Presiden itu diberi sambutan permaidani merah dan berjalan melepasi barisan pengawal kehormatan dari Rejimen Keenam Renjer Diraja.

Beliau disambut Timbalan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU) Dr Aizi Razman Ismail.

Pemerintah Swaziland, Raja Mswati III yang ditemani permaisurinya, Ratu Inkhosikati Make Mbikiza juga tiba di KLIA pada jam 5:40 petang.

Timbalan Presiden Maldives, Abdulla Jihad (dua,kanan) tiba di KLIA bagi menghadiri NBOS di PICC. Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Muttalib (kanan). – Bernama
Timbalan Presiden Maldives, Abdulla Jihad (dua,kanan) tiba di KLIA bagi menghadiri NBOS di PICC. Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Muttalib (kanan). – Bernama

Pemimpin lain yang dijadual tiba hari ini, Timbalan Perdana Menteri Thailand Visanu Krue Ngam, Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean dan Timbalan Presiden Maldives Abdulla Jihad.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-Cha dijadualkan tiba esok.

Persidangan tiga hari bertemakan “Transformasi Negara melalui Kreativiti dan Inovasi “akan memberi tumpuan kepada kreativiti dan inovasi dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar dan inisiatif negara.

Persidangan itu, yang diadakan bersempena dengan Minggu Antarabangsa Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), akan menampilkan ucapan dasar dan perbincangan panel oleh pemimpin-pemimpin negara, penceramah terkenal, dan pakar-pakar global dari seluruh dunia.

Kira-kira 3,000 peserta dari seluruh dunia dijangka menghadiri persidangan itu, termasuk pemimpin negara dari negara anggota Komanwel, negara-negara ASEAN, dan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Para pemimpin juga dijadualkan menghadiri persidangan dwitahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) yang akan diadakan di PICC dari 18 hingga 20 Ogos. – Bernama