Paramedik pula ‘dijadikan tebusan’

Paramedik pula ‘dijadikan tebusan’

YEREVAN, 27 Julai – Lelaki bersenjata propembangkang yang terlibat dalam ketegangan berlanjutan dengan anggota polis di bandar Yerevan, Armenia, hari ini telah menahan empat tebusan iaitu anggota paramedik, menurut pegawai, selepas kejadian berbalas tembakan mengakibatkan lima orang cedera.

Polis berkata paramedik itu telah ditawan selepas memasuki kawasan polis yang dirampas oleh penyerang 10 hari lalu untuk merawat dua lelaki bersenjata yang cedera dalam pertempuran juga mengakibatkan dua penyerang dan seorang pegawai polis dimasukkan ke hospital.

“Doktor-doktor yang masuk ke wilayah yang dikepung untuk membantu dua anggota kumpulan bersenjata yang enggan untuk pergi ke hospital telah dijadikan tebusan,” kata jurucakap pasukan polis Ashot Aharonyan dalam Facebooknya.

“Polis sedang mengambil langkah untuk membebaskan doktor-doktor berkenaan menerusi rundingan.”

Lelaki bersenjata – penyokong ketua pembangkang yang dipenjarakan, Zhirair Sefilyan – menyerbu bangunan polis di Yerevan pada 17 Julai, membunuh seorang pegawai, menawan beberapa tebusan dan merampas gedung senjata.

Pada hujung minggu mereka membebaskan empat pegawai polis terakhir yang ditawan namun kekal bersembunyi di dalam bangunan polis yang dikepung oleh para pegawai penguat kuasa undang-undang.

Kumpulan itu menuntut peletakan jawatan Presiden Serzh Sarkisian dan pembebasan Sefilyan.

Ketegangan berlanjutan itu telah menggoncangkan republik kecil Caucasus itu dan mencetuskan pertempuran antara polis dan pembantah yang berang berhubung pengendalian insiden tersebut. – AFP