Pardew berang aksi longlai Zaha

Pardew berang aksi longlai Zaha

LONDON, 22 Sept (Reuters) – Wilfried Zaha tidak menunjukkan keinginan untuk menang ketika Crystal Palace tewas 0-1 kepada Tottenham Hotspur dan pemain sayap itu digesa meningkatkan tumpuannya.

Pengurus Alan Pardew berkata, Zaha mengisi senarai kesebelasan utama Palace sepanjang enam perlawanan awal tetapi pemain kelahiran Ivory Coast berusia 22 tahun itu hanya sekali dapat melengkapkan tempoh 90 minit aksi.

Dia dikeluarkan sebelum sejam permainan sepanjang tiga perlawanan termasuk kelmarin dan Pardew tidak menyembunyikan rasa kecewanya terhadap pemain itu.

“Wilf pemain berbakat. Saya sedang cuba membuatkan dia faham setiap saat adalah penting,” kata pengurus itu.

“Ia adalah mengenai tumpuan, mempunyai keinginan sama untuk bertahan dan menyerang, pergerakan serta semua perkara yang perlu ada pada pemain hebat. Malangnya pada saya, dia masih belum mempunyai faktor itu.

“Dia mempunyai 45 minit untuk membuktikan dia mampu menguasai posisinya tapi tidak berjaya berbuat demikian. Dia perlu belajar sesuatu.

“Dia mungkin tidak bernasib baik kerana dikeluarkan tapi ada satu atau dua pemain lain turut tidak menunjukkan tahap sebenar tapi dia yang terburuk,” katanya.

Skuad Eagles ketinggalan pada minit ke-68 hasil jaringan pemain baru Spurs Son Heung-min dan Pardew berkata beliau percaya penjaga gol Alex McCarthy sepatutnya mampu menahan percubaan itu.

ARTIKEL YANG SAMA