Park pertahan sistem THAAD

Park pertahan sistem THAAD

SEOUL, 2 Ogos – Presiden Park Geun-Hye hari ini membangkitkan kenangan pembunuhan ibu bapanya, apabila beliau membidas tentangan terhadap rancangan penempatan sistem canggih anti peluru berpandu AS di Korea Selatan.

Kementerian pertahanan pada bulan lalu mengumumkan bahawa sistem Terminal Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi atau THAAD, akan dipasang di Seongju – wilayah luar bandar kira-kira 200 kilometer tenggara Seoul – menjelang akhir tahun depan.

Keputusan itu adalah berdasarkan ancaman meningkat yang diperlihatkan oleh program peluru berpandu balistik dan senjata nuklear canggih Korea Utara.

Bantahan penduduk Seongju mengatakan bahawa radar kuat sistem itu menimbulkan bahaya kesihatan dan persekitaran, sementara ahli undangan pembangkang kurang menyokong langkah ini.

Pada mesyuarat kabinet Park telah menyuarakan kekecewaan dengan bantahan kepada apa yang beliau tegaskan adalah keputusan ‘tidak akan berubah’ untuk menempatkan sistem itu.

“Jika kita tidak mengambil langkah asas pertahanan seperti menempatkan THAAD, bagaimana kita boleh melindungi negara dan rakyat?” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang rasminya.

“Saya telah kehilangan ibu bapa saya dalam kesakitan yang mengazabkan. Satu-satu gesaan saya yang tinggal ialah untuk melindungi negara dan rakyat dari pelbagai ancaman,” tambah beliau lagi.

Ayah Park, bekas presiden dan juga orang kuat tentera, Park Chung-Hee, ditembak mati oleh ketua perisikannya sendiri pada tahun 1979. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA