Parlimen belia minta kerajaan hadkan akses Pokemon Go

Parlimen belia minta kerajaan hadkan akses Pokemon Go

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Anggota Parlimen Belia hari ini meminta kerajaan mewujudkan mekanisme keselamatan bagi mengawal permainan maya ‘Pokemon Go’ yang didakwa boleh menggugat keselamatan negara.

Wakil Johor, Akmal Saufi Mohamed Khaled berkata menerusi teknologi maklumat, terdapat mekanisme untuk menghadkan akses permainan tersebut terutama di bangunan atau lokasi berisiko tinggi boleh diaktifkan agar akses keselamatannya boleh dikawal.

“Sebagai contoh jika terdapat program atau persidangan berkaitan keselamatan, penganjur mengaktifkan sistem keselamatan agar akses luar terhadap bangunan tempat berlangsung program boleh dikawal.

“Kita harap ada mekanisme yang boleh kerajaan gunakan untuk mengawal akses ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk perunding teknologi maklumat mengulas mengenai Pokemon Go yang mungkin memberi kesan terhadap keselamatan sekiranya pengguna menggunakan WiFi pejabat pentadbiran kerajaan dan pasukan keselamatan.

Terdapat kemungkinan maklumat akan dijual dan dijadikan berita sensasi untuk kepentingan individu tertentu.

Sementara itu, wakil dari Pahang, Chong Choon Hau berkata kemampuan permainan maya yang berfungsi melalui sistem satelit mungkin berupaya memperolehi maklumat sulit berkaitan dengan bangunan kerajaan dan sebagainya.

“’Game’ ini kena jalan banyak, katakan pemain itu mungkin perisik luar negara, dan mungkin karakter Pokemon Go itu terdapat di mana-mana bangunan kerajaan, jadi bahayalah.

“Ia membawa lebih keburukan berbanding kebaikan,” katanya.

Kenyataan beliau disokong seorang lagi wakil Johor, Taufiq Abdul Fattah yang berkata akses luas tanpa saringan bagi memuat turun permainan ini boleh menggugat keselamatan negara.

“Saya tidak bersetuju sekiranya akses kepada permainan ini disekat namun kerajaan perlu mewujudkan mekanisme tertentu bagi membendung isu ini sebelum menjadi parah,” katanya.

Wakil dari Kuala Lumpur, K.Mark Yogaraj pula berkata di samping isu keselamatan negara, isu keselamatan individu turut perlu dititikberatkan.

Mark turut berharap agar kementerian berkaitan tampil mengutarakan panduan dan peraturan yang sebaik mungkin kepada pemain tersebut. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA