Parlimen Beluran sumbang 200 katil kepada Asrama SMK Telupid

Parlimen Beluran sumbang 200 katil kepada Asrama SMK Telupid

TELUPID, 31 Jan – Pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telupid kini dapat tidur dengan selesa selepas menerima sumbangan 200 katil berserta tilam dan bantal. Sumbangan itu hasil inisiatif Anggota Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selepas kedaifan kemudahan asrama itu diviralkan menerusi Facebook awal bulan ini.

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata dengan adanya kemudahan baharu itu, pelajar yang tinggal di asrama sekolah berkenaan dapat tinggal dengan lebih selesa dan membolehkan mereka memberi tumpuan terhadap pembelajaran.

Peruntukan kerajaan untuk Anggota Parlimen digunakan bagi mendapatkan katil, tilam dan bantal, serta turut disumbangkan oleh beberapa syarikat dan orang perseorangan sekitar Beluran, katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan katil di Asrama SMK Telupid di sini, hari ini.

Menurutnya laporan daripada pihak sekolah sebelum ini menunjukkan katil, almari serta bantal asrama itu kini melebihi 10 tahun dan ada yang mencapai 30 tahun tanpa diganti. Pengetua SMK Telupid Rukimin Sulit berkata beliau amat menghargai sumbangan itu bagi penyelesaian serba sedikit masalah kelengkapan asrama sekolah tersebut. – Bernama