Parlimen Britain bidas nasihat ‘perkauman’ Air China

Parlimen Britain bidas nasihat ‘perkauman’ Air China

LONDON, 8 Sept – Seorang ahli parlimen Britain semalam membidas Air China kerana dikatakan memberikan nasihat perjalanan bersifat ‘perkauman’ kepada para pelanggan yang membuat lawatan ke London.

Majalah syarikat penerbangan itu “Wings of China” dilaporkan memberikan nasihat keselamatan kepada para pelancong berdasarkan perkauman dan kewarganegaraan penduduk tempatan.

“London pada dasarnya tempat selamat untuk dilawati, bagaimanapun langkah beringat-ingat diperlukan apabila memasuki kawasan-kawasan yang terutamanya didiami oleh orang India, Pakistan dan orang kulit hitam,” kata majalah itu, menurut gambar yang disiarkan oleh CNBC.

“Kami menasihatkan para pelancong supaya tidak keluar bersendirian pada waktu malam, dan para wanita sentiasa ditemani oleh seseorang apabila membuat perjalanan,” tambah majalah itu lagi.

Bayangan seperti itu mengakibatkan ahli parlimen London Virendra Sharma yang berhijrah dari India ke UK pada tahun 1960an, menyampaikan rungutan kepada kerajaan China.

Gambar fail bertarikh 5 September 2013 menunjukkan pesawat Boeing 777 Air China semasa mendarat di Lapang Terbang Antarabangsa Beijing di China. - AP
Gambar fail bertarikh 5 September 2013 menunjukkan pesawat Boeing 777 Air China semasa mendarat di Lapang Terbang Antarabangsa Beijing di China. – AP

Pengarah publisiti Air China Xu Yuanchun memberitahu AFP bahawa mereka sedang menyiasat mengenai perkara itu dan mengatakan “Air China mempunyai berbelas-belas majalah, sukar untuk mengetahui kesemuanya.”

Tetapi di media sosial China, kebanyakan yang memberi ulasan melahirkan kebingungan terhadap tindak balas. Laporan dibuat ketika tempoh ketegangan antara Beijing dan London.

Perdana Menteri Britain Theresa May kembali ke London minggu ini dari sidang mesyuarat G20 yang diadakan oleh China, yang mana dia mempertahankan keputusannya untuk menangguhkan memberikan kebenaran kepada projek tenaga nuklear yang mana Beijing mempunyai pelaburan besar. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA