Parlimen British luluskan program kerajaan

Parlimen British luluskan program kerajaan

LONDON, 5 Jun (AFP) – Ahli Parlimen British semalam mengundi bersetuju dengan program perundangan kerajaan Konservatif, termasuk rancangan referendum mengenai sama ada untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), dalam apa yang dianggap sebagai peningkatan keyakinan ke atas Perdana Menteri David Cameron yang baru dipilih semula.

Kerajaan meraih kemenangan itu selepas enam hari perdebatan berikutan ucapan yang mengandungi rancangan dasar penting yang dititahkan oleh Ratu Elizabeth II minggu lepas.

Undian itu, yang kerajaan menangani dengan 326 undi berbanding 279 menentang, adalah ujian pertama ke atas kerajaan baru Cameron, dan berlaku selepas Menteri Kewangan George Osborne mendedahkan rancangan bagi pemotongan belanjawan terbaru dan penswastaan sepenuhnya Royal Mail.

Titah Ratu Elizabeth II secara rasmi mengumumkan dasar-dasar seperti referendum selain langkah untuk membantu warga kelas pertengahan termasuk lebih banyak penjagaan percuma kanak-kanak, belanjawan bagi penjagaan kesihatan dan janji untuk tidak meningkatkan tiga kadar cukai besar selama lima tahun.

Kumpulan-kumpulan sayap kiri merancang untuk membantah sepanjang musim panas, terutamanya menentang rancangan mengurangkan belanjawan sebanyak £12 bilion (17 bilion euro, AS$18.5 bilion).

Kerajaan juga memperkenalkan kuasa baru untuk mengharamkan “pertubuhan pelampau” yang dilihat bertanggungjawab bagi tindakan radikal.