Parlimen Greece luluskan reformasi

Parlimen Greece luluskan reformasi

ATHENS, 23 Julai – Parlimen Greece meluluskan reformasi kewangan baharu hari ini seperti dituntut pemiutang antarabangsa di negara itu, sekali gus memberi laluan kepada proses rundingan berhubung pelan menyelamat ketiga bernilai berbilion euro yang diperlukan negara itu bagi mengelak kehancuran sistem kewangan.

Majoriti 230 ahli parlimen mengundi menyokong langkah itu, selepas melalui perbahasan panjang sehingga jam 4 pagi, manakala 63 ahli menentang dan lima daripada 300 ahli yang hadir, tidak mengundi. Perdana Menteri Greece, Alexis Tsipras sekali lagi ditentang ahli parlimen radikal partinya sendiri, Syriza, namun tidak berdepan masalah mendapatkan kelulusan dengan sokongan parti pembangkang pro-Eropah.

Majoriti ahli parlimen Syriza yang tidak berpuas hati kerana menganggap proses reformasi kewangan itu sebagai satu pengkhianatan kepada kempen anti pembaziran sebelum ini yang memberi kemenangan kepada mereka Januari lalu, semakin berkurangan berbanding undian serupa minggu lalu.

Proses reformasi adalah prasyarat terakhir sebelum Greece boleh memulakan rundingan dengan pemiutang antarabangsa mengenai program menyelamat bernilai kira-kira 85 bilion euro (AS$93 bilion).

Kegagalan meluluskan reformasi itu akan menyukarkan lagi proses penyelesaian ikat jamin berkenaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan Greece dalam perkongsian mata wang euro. – Agensi

Perdana Menteri Greece (kanan) ketika menghadiri parlimen itu. – AFP
Perdana Menteri Greece (kanan) ketika menghadiri parlimen itu. – AFP