Parlimen Mesir bersidang kali pertama

Parlimen Mesir bersidang kali pertama

KAHERAH, 11 Jan (AFP) – Badan perundangan pertama Mesir dengan 596 kerusi Parlimen mengadakan sesi sulungnya hari ini, memberi isyarat selesainya pelan induk politik yang diumumkan pada 2013.

Parlimen yang dipenuhi dengan penyokong Presiden Abdel Fattah el-Sissi pada pemilihan November dan Disember lalu, adalah yang pertama bersidang sejak pemimpin yang juga ketua tentera mengetuai penyingkiran Presiden Mohammed Morsi pada 2013, selepas bantahan besar-besaran ke atas pemimpin Islam itu dan kepemimpinan Ikhwanul Muslimin.

Parlimen baharu itu menggantikan badan yang dikuasai puak Islam dan dibubarkan dalam satu keputusan mahkamah pada Jun 2012.

Tugas pertama Parlimen berkenaan adalah untuk meratifikasikan kira-kira 300 dekri (perintah) dikeluarkan El-Sissi sejak mengambil alih kuasa pada Jun 2014 dan Presiden sementara, Adly Mansour sebelum itu.

Ahli-ahli Parlimen Mesir menghadiri sesi pembukaan di ibu pejabat utama Parlimen di Kaherah. – Reuters
Ahli-ahli Parlimen Mesir menghadiri sesi pembukaan di ibu pejabat utama Parlimen di Kaherah. – Reuters

Mengikut perlembagaan, dekri itu perlu diratifikasi dalam tempoh 15 hari bermula tarikh sesi pembukaan Parlimen dan sekiranya gagal berbuat demikian mengakibatkan pemansuhan automatik undang-undang berkenaan.

Dekri itu termasuk satu undang-undang dengan keras mengehadkan demonstrasi jalanan dan undang-undang keganasan yang mengekang kebebasan media selain memberi polis kuasa lebih besar.