Parlimen Singapura dibubar, 11 Sept mengundi

Parlimen Singapura dibubar, 11 Sept mengundi

SINGAPURA, 25 Ogos (Bernama) – Presiden Singapura, Tony Tan Keng Yam hari ini membubarkan parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan, demikian menurut satu kenyataan kerajaan.

Writ Pilihan Raya itu dikeluarkan presiden atas nasihat Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 1 Sept manakala tarikh mengundi padaJumaat 11 Sept, hari cuti umum, di mana rakyat republik ini akan mengundi untuk memilih 89 Anggota Parlimen di 29 kawasan pilihan raya.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura, Ng WaiChoong dilantik menjadi Pegawai Pilihan Raya.

Tempoh penggal kerajaan sekarang hanya berakhir pada Januari 2017 tetapi dalam ucapan sempena Hari Kebangsaan republik ini, Lee membayangkan akan mengadakannya ‘tidak lama lagi’ bagi mendapatkan mandat rakyat untuk membawa Singapura ke fasa seterusnya.

Pemandangan Dewan Parlimen Singapura berhampiran daerah perdagangan di Singapura. Negara kota itu hari ini membubarkan parlimen dalam persediaan pilihan raya pada 11 September. – Reuters
Pemandangan Dewan Parlimen Singapura berhampiran daerah perdagangan di Singapura. Negara kota itu hari ini membubarkan parlimen dalam persediaan pilihan raya pada 11 September. – Reuters

Katanya, Singapura kini berada di titik perubahan selepas melengkapkan 50 tahun penuh kejayaan dan akan memulakan langkah untuk 50 tahun akan datang.

Lee berkata, Pilihan Raya Umum akan datang sangat penting dan rakyatrepublik ini akan memutuskan siapa yang bakal memerintah untuk lima tahun akan datang.

“Apa yang lebih penting, anda akan memilih pasukan yang akan bekerja bersama anda untuk 15 hingga 20 tahun akan datang.

“Anda akan menentukan arah tuju Singapura untuk 50 tahun akan datang. Anda menentukan masa depan Singapura,” katanya.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) menguasai Singapura sejak ia mencapai kemerdekaan pada 1965 dan ia kini diterajui Lee Hsien Loong.