Partenopei pu...

Partenopei putih mata

MADRID, 16 Feb – Real Madrid bangkit daripada ketinggalan di awal permainan sebelum menewaskan Napoli 3-1 awal pagi tadi sekali gus kekal dalam laluan untuk mara ke peringkat suku akhir buat kali ketujuh berturut-turut Liga Juara-Juara.

Karim Benzema, Toni Kroos dan Casemiro masing-masing menyumbat gol buat penyandang juara itu selepas Lorenzo Insigne meledak jaringan pembukaan buat Napoli, kurang sepuluh minit perlawanan peringkat 16 terakhir bermula di Santiago Bernabeu.

Penyerang kebangsaan Itali itu menjaringkan gol cantik dari luar kotak penalti ketika penjaga gol Real, Keylor Navas terkeluar daripada posisinya.

Beraksi di peringkat 16 terakhir buat kali kedua sepanjang sejarah penubuhan kelab itu, permainan yang ditampilkan Napoli jelas gagal menyamai rekod 19 perlawanan tanpa kalah.

Real yang memenangi gelaran ke-11 Liga Juara-Juara musim lalu pula meneruskan deretan tanpa kalah di laman sendiri dalam kempen Eropah kepada 12 perlawanan.

Midfield Real Madrid dari Jerman, Toni Kroos (kanan) meraikan jaringan ketika Galaticos menewaskan Napoli di stadium Santiago Bernabeu pada pertemuan pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara kelmarin. – AFP
Midfield Real Madrid dari Jerman, Toni Kroos (kanan) meraikan jaringan ketika Galaticos menewaskan Napoli di stadium Santiago Bernabeu pada pertemuan pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara kelmarin. – AFP

Pertembungan timbal balik dijadual pada 8 Mac ini di Itali. Beraksi di depan legenda mereka Diego Maradona dengan hampir 5,000 peminat yang tanpa henti memberikan sorakan, Napoli memulakan permainan dengan cukup sempurna apabila Insigne memecah kebuntuan gol pada minit kelapan.

Dia yang menerima hantaran jauh menarik kapten Marek Hamsik melepaskan rembatan padu dari jarak 30 meter yang berjaya memperdaya Navas.

“Di sebalik keputusan, saya fikir kami beraksi baik dalam perlawanan ini,” kata Insigne. “Kini kami memiliki perlawanan timbal balik di San Paolo dan saya yakin kami akan memberi saingan yang lebih sengit.

“Real adalah juara dunia, pasukan yang memiliki 18 pemain yang cukup baik dalam skuad mereka namun saya tidak melihat begitu banyak perbezaan dengan keputusan ini.”

Penyerang Perancis, Benzema menyamakan kedudukan buat Real sepuluh minit selepas gol Napoli menerusi tandukan berpunca daripada hantaran Dani Carvajal – gol pertamanya dalam enam perlawanan.

Kroos kemudian meletakkan Real di depan pada babak minit ke-49 menerusi umpanan bintang, Cristiano Ronaldo sebelum Casemiro melengkapkan jaringan ketiga pada minit ke-54.

Pada minit ke-80, Napoli berjaya merobek gawang tuan rumah sekali lagi tetapi gol itu dibatalkan.

Ronaldo juga memiliki beberapa peluang menjaringkan gol terutama pada minit ke-28 namun rembatannya terkena palang dan kekal kekurangan dua gol untuk merekod 100 gol di peringkat Eropah. – AP

ARTIKEL YANG SAMA