Parti ANC bakal singkir Presiden Jacob Zuma

JOHANNESBURG, 13 Feb – Parti Kongres Nasional Afrika (ANC) yang memerintah Afrika Selatan telah memutuskan untuk memecat Presiden Jacob Zuma yang terlibat dengan skandal dari jawatannya selepas dia enggan meletak jawatan, menurut laporan media tempatan berikutan perbincangan tertutup.

Seramai 107 ahli yang berkuasa dalam Jawatankuasa Eksekutif Nasional (NEC) mengadakan mesyuarat selama 13 jam di sebuah hotel di luar Pretoria, dan memutuskan mereka akan ‘menarik balik’ Zuma dari jawatannya, menurut beberapa media tempatan.

“Ia mengambil masa selama 13 jam, tetapi jawatankuasa eksekutif nasional ANC telah memutuskan untuk menarik balik Presiden Jacob Zuma sebagai ketua negara,” kata laman web berita Times Live, dengan tidak menyebut nama sumber dalam perbincangan itu.

Media lain melaporkan bahawa parti itu akan menulis kepada Zuma bagi memerintahkannya untuk menarik diri

dari jawatan presiden, selepas permintaannya untuk berada di pejabat bagi beberapa bulan ditolak.

Gambar fail bertarikh 12 Februari 2015, menunjukkan Jacob Zuma telah menghadiri pembukaan rasmi parlimen di Cape Town. Menurut laporan media tempatan, parti ANC kelmarin memutuskan untuk memecat Zuma setelah dia enggan untuk meletak jawatan selepas pertemuan tertutup pada 12 Februari 2018. – AFP

Stesen penyiaran negara SABC berkata ANC telah memberi Zuma 48 jam untuk mengundurkan diri.

Para pegawai ANC tidak dapat mengesahkan laporan itu, tetapi parti itu akan mengadakan sidang media pada jam 12 tengah hari di ibu pejabatnya di Johannesburg.

ANC boleh ‘menarik balik’ ketua negara, yang pada dasarnya memaksa dia meletak jawatan, tetapi prosesnya adalah arahan peringkat parti dan dia tidak mempunyai kewajiban perlembagaan untuk mematuhi perintah itu.

Sekiranya dia enggan, dia mungkin akan digulingkan melalui undi tidak percaya parlimen dalam masa beberapa hari ini.

Selain itu, ketua Kongres Afrika Kebangsaan, Cyril Ramaphosa dilaporkan meninggalkan mesyuarat sepanjang malam untuk perbualan bersemuka dengan Zuma di kediaman rasminya di Pretoria.

Para rombongan Ramaphosa dilihat kembali ke mesyuarat pada tengah malam.

Namun, tiga jam kemudian, mesyuarat tersebut dihentikan.

Ramaphosa, yang bakal menjadi presiden, telah terlibat dalam kebuntuan rundingan bersama Zuma, yang menolak permintaan terdahulu daripada pemimpin parti untuk meletak jawatan lebih seminggu lalu. – AFP