Pas imigresen disalah guna

Pas imigresen disalah guna

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Seramai tujuh warga asing, empat daripadanya perempuan, telah ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang pengenalan diri yang mengandungi pas imigresen yang masih sah dalam Operasi Cekup Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), ke atas beberapa lokasi di Mukim Serasa dan Mukim Berakas, pagi tadi.

Kesemua mereka yang ditangkap semasa bekerja di salah sebuah gerai sayur, projek tambahan rumah dan dua buah gerai nasi katok, dipercayai menyalahgunakan pas imigresen yang diberikan.

Selain daripada itu, tiga pas khas juga dikeluarkan ke atas tiga warga asing sementara pasport mereka ditahan bagi siasatan dan tapisan lanjut, manakala itu, empat surat panggilan dikeluarkan ke atas majikan dan tuan punya rumah dalam pembinaan bagi membantu siasatan.

Menurut kenyataan JIPK, hari ini, operasi yang melibatkan 14 pegawai penguatkuasa dengan diketuai oleh ketua pegawai imigresen itu dilaksanakan sebagai tindakan atas maklumat terkumpul dan aduan daripada orang ramai.

Sehubungan itu, JIPK terus mengingatkan majikan/penjamin (pas kerja/lawatan) supaya sentiasa memastikan tempoh pas imigresen pekerja asing/pemegang pas lawatan masih sah kerana adalah menjadi kesalahan sekiranya pekerja/orang yang di bawah jaminan mereka telah mansuh dan seterusnya menasihatkan agar sentiasa mengetahui keberadaan mereka.

Dua orang perempuan warga asing menyalahgunakan pas imigresen.
Dua orang perempuan warga asing menyalahgunakan pas imigresen.

Pemegang pas kerja/lawatan juga diingatkan supaya tidak akan menyalahgunakan pas mereka di negara ini dan jika sabit kesalahan pas imigresen mansuh, mereka akan diusir setelah dipenjarakan dan secara pentadbiran akan disenarai hitamkan manakala penjamin juga akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

JIPK juga mengingatkan warganegara asing di negara ini supaya tidak menyalahgunakan pas Imigresen yang di berikan, serta tidak membuat urusan atau menyerahkan pasport kepada individu-individu mengelar diri mereka sebagai ejen yang boleh membuat urusan-urusan pasport kepada agensi yang berkenaan dan setelah itu menghilang diri.

Para majikan juga dinasihatkan supaya tidak mengambil pekerja warganegara asing yang bukan atas jaminan mereka atau ‘Amah Pinjam/ pemegang pas melawat’ kerana jika sabit kesalahan pihak majikan akan berdepan dengan tindakan undang-undang denda tidak kurang $3,000 bagi setiap pesalah imigresen.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut JIPK mengalu-alukan orang ramai memberikan maklumat berhubung pesalah imigresen dengan menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888.

Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA