Pas imigresen mansuh 369 hari

Pas imigresen mansuh 369 hari

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 29 Sept – Seorang lelaki warganegara asing telah ditahan untuk siasatan setelah didapati jaminan pas imigresennya mansuh selama 369 hari sejak 26 September 2014.

Lelaki tersebut telah ditahan semasa Operasi Cekup JIPK 67/2015 Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Imigresen Kuala Belait, hari ini, yang menyasarkan pemeriksaan ke atas projek pembinaan rumah baru di kawasan Mumong, di sini.

Semasa operasi itu, dua orang warganegara asing telah diperiksa dan setelah disoal siasat, lelaki terbabit mengaku bahawa dia dibawa bekerja oleh rakannya yang memegang pas khas dan masih disiasat di bahagian berkenaan. Lelaki terbabit turut mengaku tidak mahu pulang ke negara asalnya dengan alasan tidak mempunyai wang dan masih lagi ingin bekerja di negara ini, hingga jaminan pas imigresennya mansuh.

Sehubungan itu, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Imigresen Kuala Belait untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Pemeriksaan ke atas dua orang lelaki warganegara asing ketika Operasi Cekup dijalankan di kawasan sasaran di Mumong kelmarin.
Pemeriksaan ke atas dua orang lelaki warganegara asing ketika Operasi Cekup dijalankan di kawasan sasaran di Mumong kelmarin.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Imigresen Kanan dan melibatkan penyertaan enam orang pegawai itu dilaksanakan bagi memastikan majikan-majikan dan juga individu-individu terutamanya warga asing supaya sentiasa patuh dan tidak melanggar atau menyalahi sebarang akta dan peraturan Imigresen.

Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) akan sentiasa menjalankan atau melaksanakan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan berterusan sama ada secara persendirian atau bersama agensi penguatkuasaan yang lain.

Ke arah aktiviti penguatkuasaan tersebut, pihak jabatan mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah-pesalah imigresen, dengan menghubungi talian hotline JIPK di talian 8753888 atau 8734888. Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA