Pas kerja dibatal, tinggal lebih tempoh, wanita dipenjara

Pas kerja dibatal, tinggal lebih tempoh, wanita dipenjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Seorang wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh sah yang dibenarkan.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli setelah Emi Sulaemi binti Arsat Ismal, 34, mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan.

Menurut keterangan kes, Emi Sulaemi gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan ketika rumah yang didiaminya di Kampung Batu Ampar diserbu oleh sepasukan anggota penguat kuasa imigresen pada 7 Februari sekitar jam 1 petang.

Tertuduh ditangkap dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen untuk siasatan lanjut.

pg06_160216_mahkamah logo

Siasatan mendapati tertuduh kali terakhir memasuki negara ini pada 7 Oktober 2014 melalui Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh dengan menggunakan pas kerja yang sah sehingga 28 April 2016.

Tertuduh bagaimanapun telah melarikan diri daripada majikannya yang mana dia diarahkan untuk pulang ke negaranya pada 20 Oktober 2015 sebaik majikannya membatalkan pas kerjanya.

Emi Sulaemi yang mengetahui pas kerjanya telah dibatalkan tidak membuat ikhtiar untuk pulang ke negaranya.

Tertuduh didakwa tinggal selama 109 hari di negara ini tanpa sebab yang munasabah.

Ketua Majistret turut menjatuhi denda $800 ke atas tertuduh dan jika gagal membayar denda itu hari ini, akan berdepan tambahan sebulan penjara.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hajah Atiyyah binti PD Haji Abas.

ARTIKEL YANG SAMA