Pas mansuh, dua warga asing dipenjarakan

Pas mansuh, dua warga asing dipenjarakan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Dua lelaki Indonesia dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal di Brunei Darussalam melebihi tempoh selepas pas lawatan mansuh.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain menjatuhkan lima bulan penjara dan tiga sebatan ke atas Suriadin, 22, dan lapan bulan penjara dan tiga sebatan terhadap Irawan berusia 27 tahun.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh dalam kata rayuan memohon kepada mahkamah untuk dikenakan hukuman denda sahaja namun Majistret Kanan menegaskan kesalahan tinggal melebihi 90 hari di negara ini memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun dan tidak kurang dari tiga sebatan.

Kedua-dua tertuduh ditahan pada 14 Ogos 2015 kira-kira jam 1:38 pagi oleh anggota penguat kuasa imigresen yang menjalankan operasi di sebuah bilik sewa di Jalan Pasir Berakas yang mana mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan.

Kedua-dua tertuduh, masing-masing mendakwa telah memberi $50 kepada individu yang didakwa sebagai ejen bagi tujuan memperbaharui pas lawatan mereka. Suriadin didapati tinggal selama 351 hari di negara ini tanpa suatu sebab yang munasabah sejak pas lawatannya mansuh pada 28 Ogos 2014 sehingga dia ditangkap pada 14 Ogos 2015 manakala Irawan didapati tinggal selama 644 hari di negara ini selepas pas lawatannya mansuh pada 8 November 2013.

pg06_150819_mahkamah logo

ARTIKEL YANG SAMA