Pas mansuh, lelaki warga asing ditahan

Pas mansuh, lelaki warga asing ditahan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 4 Okt – Seorang lelaki warganegara asing telah ditahan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya apabila jaminan pas imigresennya didapati telah mansuh selama lapan hari semasa pemeriksaan melalui Operasi Cekup JIPK yang menyasarkan rumah sewa pekerja asing di Jalan Singa Menteri, di sini kelmarin.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), pemerhatian awal ke atas rumah berkenaan telah dilakukan seawal pukul 6:00 pagi, dan hasil daripada pemerhatian itu, sebuah kereta telah ditahan di kawasan Jalan Singa Menteri, Kampung Mumong, lelaki warga asing yang diperiksa berkenaan kemudiannya dibawa ke rumah sewanya.

Setelah pemeriksaan ke atas pasportnya, Bahagian Penguatkuasaan JIPK telah mendapati jaminan pas imigresennya telah mansuh, dan mengikut siasatan, lelaki terbabit mengakui tidak mahu pulang ke negara asalnya dengan alasan tidak mempunyai wang.

Dia kemudian dibawa ke pejabat bahagian penguatkuasaan bagi siasatan dan tindakan selanjutnya, sementara satu surat panggilan dikeluarkan kepada rakannya bagi membantu siasatan.

Lelaki warga asing ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut oleh Bahagian Penguatkuasaan JIPK Daerah Belait.
Lelaki warga asing ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut oleh Bahagian Penguatkuasaan JIPK Daerah Belait.
Pemeriksaan dilakukan di rumah sewa warganegara asing terbabit dan mendapati Pas Imigresennya telah mansuh.
Pemeriksaan dilakukan di rumah sewa warganegara asing terbabit dan mendapati Pas Imigresennya telah mansuh.

Operasi berkenaan telah melibatkan penyertaan seramai enam orang pegawai Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang JIPK dengan diketuai oleh Ketua Pegawai Imigresen, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Kuala Belait.

Ketua Pegawai Imigresen, dalam kenyataan yang dikeluarkan, sekali lagi mengingatkan para majikan dan mana-mana individu terutamanya warganegara asing supaya sentiasa patuh dan tidak melanggar atau menyalahi sebarang akta dan peraturan imigresen.

Bahagian Penguatkuasaan JIPK akan sentiasa menjalankan atau melaksanakan aktiviti penguatkuasaan berterusan sama ada secara persendirian atau bersama dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

Ke arah aktivit penguatkuasaan tersebut, pihak jabatan mengalu-alukan orang ramai bagi sama-sama memberikan maklumat berhubung pesalah-pesalah imigresen dengan menghubungi hotline JIPK di talian 8753888 atau 8734888. Sebarang maklumat dan nama pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA