Pasangan Amerika terkorban dalam letupan

Pasangan Amerika terkorban dalam letupan

WASHINGTON, 27 Mac (AFP) – Pasangan suami isteri Amerika yang dilaporkan hilang selepas serangan ganas minggu lalu di lapangan terbang Brussels adalah antara mereka terkorban, menurut syarikat tempat si suami bekerja semalam.

Justin dan Stephanie Shults, pasangan suami isteri yang dilaporkan hilang selepas menurunkan ibu mereka di lapangan terbang Brussels, telah terbunuh dalam letupan di sana, menurut majikannya.

“Kami hari ini mengetahui bahawa Justin dan Stephanie Shults terbunuh dalam pengeboman di lapangan terbang Brussels,” Clarcor, syarikat penapisan tempat Justin bekerja, berkata dalam satu kenyataan yang dihantar ke laman sesawangnya.

Akaun Twitter yang menurut media AS milik kepada abang Justin, Levi Sutton juga mengesahkan kematian mereka.

“Kami mendapati hari ini bahawa para pengecut telah membunuh abang saya beberapa minggu selepas hari lahirnya yang ke-30, Sutton menulis dalam mesej yang dihantar semalam.

“Saya gembira mempunyai Justin sebagai abang saya. Dia bijak dan baik dan pemurah,” ujarnya.

“Stephanie sentiasa begitu gembira. Saya benar-benar gembira dengan peluang dapat pernah bersama-samanya. Dunia telah kehilangan dua insan hebat hari ini. Tidak adil,” tambahnya.

Pasangan suami isteri ini tinggal di Brusseles sejak 2014, menurut Clarcor. Kedua-dua mereka adalah akauntan, menurut NBC News.