Pasangan Campbell kuasai renang

Pasangan Campbell kuasai renang

RIO DE JANEIRO, 3 Ogos – Pasangan adik beradik, Cate dan Bronte Campbell dari Australia sedia menggegarkan kolam renang menjelang Olimpik Rio 2016 walaupun situasi mereka berbeza dengan bintang tenis dunia, Serena dan Venus Williams.

“Saya fikir ia berbeza dengan Serena dan Venus,” kata Bronte, 22, yang tidak mahu menganggap kakaknya Cate sebagai pesaing. “Kami berenang dalam kolam renang bersama enam lagi perenang yang lain. Saya tidak berenang untuk menentang satu sama lain sebaliknya cuba melakukan yang terbaik.”

Ketika adik beradik Williams menghadapi kesukaran apabila perlu bersaing sesama sendiri di awal kerjaya mereka, sebaliknya berlaku kepada Cate dan Bronte yang menjalani kehidupan dan latihan bersama.

“Kami sentiasa menikmati perlumbaan antara satu sama lain selain menentang perenang dari seluruh dunia. Kami tidak memikirkan yang kami menentang satu sama lain,” kata Bronte.

Bagaimanapun, kedua-duanya mempunyai pencapaian masing-masing yang perlu dipertahankan di Rio. Bronte yang juga juara dunia dalam acara 100 meter gaya bebas terpaksa berehat kerana mengalami jangkitan pernafasan ketika Cate merakam rekod dunia 52.06 saat dalam acara itu di Brisbane, 2 Julai lalu. Dia memadam rekod yang dipegang Britta Steffen dengan catatan 52.07s.

Gambar fail bertarikh 8 Ogos 2015 menunjukkan Bronte Campbell (kiri), dan kakaknya Cate Campbell (kanan) semasa di Kejohanan Renang Dunia di Kazan, Rusia. – AP
Gambar fail bertarikh 8 Ogos 2015 menunjukkan Bronte Campbell (kiri), dan kakaknya Cate Campbell (kanan) semasa di Kejohanan Renang Dunia di Kazan, Rusia. – AP

“Saya fikir bapa saya bergurau,” kata Bronte ketika dihubungi bapanya memaklumkan berita berkenaan. “Pada waktu itu saya tidak fikir dia bercakap benar.” Bagaimanapun, katanya apa yang dicapai kakaknya itu tidak melunturkan semangatnya untuk terus menjadi pencabar utama dalam arena renang dunia.

“Kami semua di sana untuk bersaing, untuk menang dan memecahkan rekod dunia. Ia adalah mengenai apa yang berlaku dalam aksi final dan siapa yang akan menjadi perenang terpantas.

“Saya tahu Cate berenang dengan baik, memecahkan rekod dunia dan ia menakjubkan, saya bangga dengan kejayaannya tetapi tidak membawa apa perubahan kepada saya,” katanya.

Rekod dunia telah meningkatkan perhatian terhadap Cate menjelang 100meter gaya bebas individu .

Namun pemain berusia 24 tahun itu berkata, dia tidak sabar untuk bekerjasama dengan kakaknya apabila perenang Australia itu mempertahankan kejuaraan dalam kategori 4×100 meter gaya bebas pada malam pertama persaingan di Rio.

Kedua-dua mereka telah mencatat rekod dunia dalam acara itu di Sukan Komanwel 2014. – AFP