Pasangan diraja lawat safari India

Pasangan diraja lawat safari India

KAZIRANGA, India, 13 April (AFP) – Putera Britain, William dan Puteri Kate melompat ke dalam jip hari ini bagi menyaksikan safari hidupan liar yang termasuk memberi makan anak badak dan gajah, semasa pusingan terakhir jelajah India mereka.

Pasangan diraja yang memakai gamocha atau skarf tenunan tangan tradisional di negeri Assam timur laut India, juga bertemu para pegawai hidupan liar yang berjuang untuk melindungi badak daripada pemburu haram.

Dalam konvoi jip tanpa atap, Duke dan Duchess, memakai kaca mata, kelihatan relaks ketika mereka menelusuri Taman Kebangsaan Kaziranga yang disenaraikan Warisan Dunia, rumah kepada dua pertiga daripada badak bertanduk satu yang tinggal di Bumi ini.

Kate, menyarungkan gaun merah jambu panjang teraan hitam dengan botol susu gergasi di tangannya, kemudian memberi susu kepada anak badak, tersenyum dan menepuknya ketika ia mulai menyusu.

“Mereka bertanya banyak soalan mengenai situasi hidupan liar di negara itu,” kata penyokong pemuliharaan Rita Banerji, yang bertemu mereka di taman tersebut.

Putera William (kanan) bersama isterinya Puteri Kate memberi makan kepada anak-anak gajah di Pusat Pemulihan Hidupan Liar dan Pemuliharaan (CWRC), di kawasan hutan simpan Panbari di Kaziranga, negeri utara-timur Assam, India, Kelmarin. - AP
Putera William (kanan) bersama isterinya Puteri Kate memberi makan kepada anak-anak gajah di Pusat Pemulihan Hidupan Liar dan Pemuliharaan (CWRC), di kawasan hutan simpan Panbari di Kaziranga, negeri utara-timur Assam, India, Kelmarin. – AP

“Lawatan daripada pasangan diraja itu sudah pasti membantu dalam menarik perhatian global mengenai ancaman yang spesies itu hadapi,” kata Banerji kepada AFP.

Semasa lawatan itu, pasangan itu juga bercakap kepada penduduk tempatan yang tinggal di pinggir hutan dan menyaksikan tenunan tradisional di sebuah rumah mereka, menurut jurugambar AFP.

William dan Kate dalam lawatan rasmi pertama mereka ke India, yang mempunyai penduduk 1.25 bilion yang sudah lama terpesona dengan monarki bekas kolonialnya.

Mereka dijangka akan berlepas ke negara jiran Bhutan pada Khamis, di mana mereka akan bertemu dengan raja dan permaisuri negara itu dan mengembara berjalan kaki selama enam jam.

Pasangan diraja akan kembali ke India untuk menamatkan jelajah mereka pada Sabtu, mengunjungi Taj Mahal terkenal tempat Puteri Diana, ibu William merakamkan gambar kenangan pada 1992.