Pasangan diraja timang puteri

Pasangan diraja timang puteri

LONDON, 3 Mei (AFP) – Putera William dan isterinya, Kate akan menghabiskan hari pertama mereka di rumah hari ini bersama puteri mereka yang baru lahir ketika Britain meraikan kelahiran puteri baru itu.

Pasangan suami isteri itu, putera mereka yang berusia setahun, Putera George dan puteri baru lahir akan menghabiskan masa bersama-sama di Istana Kensington, sehari selepas Kate melahirkan puteri perempuan, keempat dalam barisan pewaris takhta.

Duke dan dan Duchess of Cambridge dengan wajah berseri-seri meninggalkan hospital semalam, membawa puteri mereka yang baru lahir di hadapan ratusan orang ramai yang bertepuk sorak dan barisan ramai jurugambar dari media dunia.

Puteri yang sedang tidur itu dibalut selendang sakhlat ketika Kate, 33 tahun yang nampak tenang mendukungnya di hadapan bangunan hospital swasta, Lindo Wing, Hospital St Mary di tengah London.

William, 32 tahun, kemudian membawa isteri dan puteri mereka menuju Istana Kensington yang terletak tidak jauh, selepas membawa puteri itu keluar dari tempat duduk kereta. Mereka sekeluarga mungkin menerima kunjungan khas hari ini dari insan-insan terdekat dan tersayang mereka.

Putera William (kanan) dan Catherine, Duchess of Cambridge menimang anak kedua mereka, seorang puteri. – AFP
Putera William (kanan) dan Catherine, Duchess of Cambridge menimang anak kedua mereka, seorang puteri. – AFP

Pemerhati diraja akan terus berjaga-jaga bagi lawatan pertama dari ayah Putera William, Putera Charles dan isterinya Camilla, dan dari ibu bapa Kate, Michael dan Carole Middleton.

Datuk dan nenek William, Ratu Elizabeth II dan suaminya, Putera Philip akan juga ingin sekali melihat cicit kelima mereka.

Britain dengan penuh minat menantikan pengumuman nama Kristian puteri itu, Charlotte menjadi nama baru yang disebut-sebut, dengan penerima taruhan pada hari ini, yang memintas nama yang telah lama menjadi sebutan, iaitu Alice.

Charlotte dipertaruhkan pada kebarangkalian kira-kira 3/1, diikuti Alice pada 4/1, Victoria pada 5/1, Olivia pada 6/1 dan Elizabeth pada 7/1.

Puteri itu adalah puteri pertama dalam keluarga diraja Britain sejak Puteri Eugenie, puteri Putera Andrew, putera kedua Baginda Ratu, 25 tahun lalu.

Perdana Menteri Britain David Cameron telah mengetuai ucapan tahniah.

“Ini adalah berita indah dan bersama-sama seluruh negara saya ingin mengalu-alukan kedatangan puteri baru dengan penuh mesra,” beliau memberitahu para pemberita.

“Kate dan William adalah pasangan luar biasa. Mereka adalah ibu bapa yang penyayang dan hebat dan ini akan menjadi detik berharga. “Seluruh negara meraikan.”