Pasangan disiasat dakwa daki Everest

Pasangan disiasat dakwa daki Everest

KATHMANDU, 4 Julai – Pihak berkuasa Aktiviti Mendaki Gunung Nepal sedang menyiasat tentang dakwaan pendakian oleh pasangan suami isteri dari India yang dituduh mengubah gambar diri mereka sendiri di puncak Gunung Everest, menurut seorang pegawai hari ini.

Ketua Jabatan Pelancongan Sudarshan Dhakal berkata pihak berkuasa sedang mengkaji tentang pendakian Everest yang dilakukan oleh Dinesh Rathod dan isterinya Tarakeshwari pada Mei lalu.

Mereka telah menerima sijil pendaki dari kerajaan Nepal selepas mereka mengemukakan sekeping gambar yang memaparkan diri mereka berada di puncak setinggi 8,850 meter.

Pasangan suami isteri itu, yang kedua-dua pegawai polis dari Pune, negeri Maharastra, India juga mendakwa mereka adalah pasangan suami isteri pertama mendaki Everest.

Rakan-rakan pendaki bagaimanapun, berkata pasangan itu tidak pernah sampai ke puncak dan menggunakan gambar orang lain untuk mendapatkan sijil mendaki mereka.

Antara pendaki India, Satyarup Sidhantha dari Bangalore berkata gambar itu adalah miliknya yang telah diubah oleh pasangan suami isteri itu untuk memperlihatkan mereka yang berada di puncak itu.

Jika tuduhan didapati benar, pasangan suami isteri itu akan kehilangan sijil itu dan ditegah dari mendaki mana-mana gunung di Nepal.

Mereka tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan mereka.

Ketika musim sibuk pendakian tahun ini, yang menyusuli dua tahun bencana di atas gunung itu, 456 orang telah mendaki Everest.

Pendakian musim tahun lalu telah dibatalkan selepas 19 pendaki terbunuh dan 61 orang ce-dera akibat kejadian runtuhan di kem pangkalan ekoran gempa bumi besar. Pada tahun 2014 runtuhan di Khumbu Icefall telah mengorbankan 16 orang pemandu Sherpa. – AP

ARTIKEL YANG SAMA