Pasangan ditahan, kematian amah

Pasangan ditahan, kematian amah

LABUAN, 15 April (Bernama) – Polis menahan sepasang suami isteri semalam bagi membantu siasatan kematian pembantu rumah warga Indonesia, dipercayai akibat penderaan, di kuarters Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Membidai, di sini.

Pembantu rumah berusia 44 tahun itu meninggal dunia pada 2 April lepas dan keputusan bedah siasat ke atas mayat berkenaan yang dikeluarkan pada 5 April, menunjukkan ada tanda penderaan fizikal berdasarkan kecederaan di dahi, lebam kedua-dua mata dan di lengan mangsa yang dikenali sebagai Rosnia Tanjung.

Ketua Polis Daerah Labuan, Supt Adzhar Othman berkata suspek lelaki, seorang anggota tentera dan isterinya, penjawat awam, yang kedua-duanya berusia 31 tahun, kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Kami menerima laporan polis daripada suspek lelaki pada 2 April mengenai kematian pembantu rumah dalam tandas rumahnya kira-kira pukul 5 petang. Mulanya kami menyiasat kes itu sebagai kematian mengejut tetapi laporan forensik mendapati ada kesan lebam yang mungkin berpunca daripada penderaan jangka panjang.

Kami percaya ada perbuatan jenayah dan membuka semula kes itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, suspek lelaki yang juga pesalah dadah akan didakwa di mahkamah 25 April ini diserahkan kepada polis oleh Pasukan Provos TUDM, kira-kira jam 10.35 pagi semalam, manakala suspek wanita menyerah diri kepada polis sejam kemudian.

“Ketika pasangan itu ditahan, suspek lelaki diuji positif methamphetamine. Berdasarkan keadaan mangsa yang kurus dan kulit yang kering, kami percaya dia didera dengan objek tumpul untuk tempoh yang lama,” kata Adzhar.