Pasangan M’sia berkahwin di Thailand meningkat

Pasangan M’sia berkahwin di Thailand meningkat

KANGAR, 25 Julai – Lebih 2,000 pasangan rakyat Malaysia berkahwin di selatan Thailand dalam tempoh enam bulan dari Januari hingga Jun tahun ini.

Menurut Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar, pada tahun lepas sahaja seramai 4,081 pasangan rakyat Malaysia berkahwin di negara jiran itu.

Katanya angka tersebut hanya bagi pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat Konsul supaya mereka boleh mendaftar semula dan mengesahkan perkahwinan apabila pulang ke tanah air.

“Pasangan yang tidak mendaftarkan perkahwinan di pejabat Konsul akan menghadapi kesukaran untuk mengesahkan perkahwinan mereka di Malaysia kelak,” kata Mohd Afandi.

Beliau dihubungi Bernama di Songkhla hari ini untuk mengulas usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam (MAI) lima wilayah di Selatan Thailand untuk memperkemaskan syarat-syarat kebenaran pasangan rakyat Malaysia yang hendak berkahwin di negara tersebut. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA