Pasangan ‘Silent Bomber’ didapati bersalah

Pasangan ‘Silent Bomber’ didapati bersalah

LONDON, 30 Dis – Pasangan suami isteri warga Britain semalam disabitkan dengan kesalahan berkomplot untuk melancarkan serangan di London selepas si suami mengajukan pertanyaan melalui Twitter meminta nasihat sasaran mana yang seharusnya diserang, sehingga membawa pihak polis kepada penemuan simpanan kimia di rumah mereka.

Mohammed Rehman, 25, dan Sana Ahmed Khan, 24, didapati bersalah oleh juri di Mahkamah Pusat Jenayah terlibat dalam persediaan bagi perbuatan pengganas, dengan pandangan sama ada menyasarkan pusat membeli belah di ibu negara atau rangkaian kereta api bawah tanah London.

“Pusat membeli-belah Westfield atau bawah tanah London? Sebarang pandangan amat dihargai,” Rehman menyatakan di Twitter, di bawah nama ‘Silent Bomber’.

Pasangan suami isteri itu yang menafikan tuduhan itu, akan dijatuhi hukuman pada tarikh kemudian. Pihak pendakwa Britain berkata semalam dua warga Britain itu telah melakukan penyelidikan terperinci ke atas serangan militan, termasuklah mencari melalui Internet, video-video berkaitan pengeboman pengangkutan London yang telah mengorbankan 52 orang sedekad lalu.

Serangan itu dilancarkan pada 7 Julai 2005 apabila empat warga muda Britain beragama Islam membuat perjalanan dari utara England menuju ibu negara untuk meletupkan bom buatan sendiri yang disembunyikan dalam beg sandar di dalam tiga buah kereta api bawah tanah dan sebuah bas ketika waktu sibuk di sebelah pagi.

Mohammed Rehman dan Sana Ahmed Khan didapati bersalah di Old Bailey, kelmarin kerana berkomplot untuk melancarkan serangan di London. – AFP
Mohammed Rehman dan Sana Ahmed Khan didapati bersalah di Old Bailey, kelmarin kerana berkomplot untuk melancarkan serangan di London. – AFP

Media Britain melaporkan bahawa Rehman dan Sana merancang melancarkan serangan berketepatan dengan ulang tahun ke-10 pengeboman sebelum itu.

Rehman, yang juga didapati bersalah memiliki artikel bagi tujuan pengganas telah melakukan ujian bom di tamannya yang telah dirakamnya, dan dihantar kepada isterinya dan isterinya itu juga telah membantu membeli kimia, menurut pihak pendakwa.

“Pasangan suami isteri itu hampir melancarkan serangan berkenaan. Apa yang mereka perlukan ialah membeli kimia untuk membuat peledak,” kata Susan Hemming, Ketua Divisyen Cegah Pengganasan di Perkhidmatan Crown Prosecution.

Dia menambah kata pasangan itu telah mendapat 10kg Nitrat Urea. “Terdapat sedikit kesangsian bahawa, jika Rehman dan Sara tidak ditahan di mana mereka berada, mereka akan cuba untuk melancarkan tindakan pengganasan di London.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA