Pasangan suami isteri ditahan, dadah dirampas

KUCHING, 12 Jan – Sepasang  suami isteri ditahan reman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan  kes rampasan dadah bernilai RM194,976 di sini  semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata pasangan terbabit ditahan petang semalam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching diketuai Inspektor Khairul Faiz Mohd Zaini di tempat letak kereta sebuah apartmen di Jalan Usaha, Muara Tabuan di sini.

Katanya ketika ditahan, suspek lelaki berusia 45 tahun itu dengan sendirinya  menyerah kepada  polis satu plastik hitam yang mengandungi dadah disyaki jenis syabu seberat 2.10 gram manakala  di dalam beg galas suspek dijumpai 100 biji pil Erimin 5 seberat 27.66 gram.

“Suspek turut mengaku ada menyimpan  dadah di dalam rumahnya di apartmen tempat dia  ditahan dan hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek, pasukan polis menjumpai satu beg kertas di atas lantai yang mengandungi 163 paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki syabu seberat 611.79 gram dan 140 biji pil disyaki pil jenis Erimin 5 seberat 180.63 gram,” kata Abang Ahmad pada sidang akhbar di IPD Kuching di sini hari ini.

Beliau berkata  keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM194,976 dan turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM2,000 serta  sebuah kereta Toyota Vios.

Turut  ditahan ialah seorang  wanita berusia 40 tahun, iaitu isteri suspek warga negara Indonesia yang berada di dalam rumah tersebut ketika serbuan dilakukan,” kata Abang Ahmad.

Menurutnya keputusan ujian saringan awal mendapati suspek lelaki warga tempatan positif dadah jenis methamphetamine, manakala isteri suspek bebas daripada sebarang dadah.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan mereka  akan didakwa di mahkamah mengikut  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, katanya. – Bernama