Pasangan suami isteri mangsa terbaru di selatan Thai

Pasangan suami isteri mangsa terbaru di selatan Thai

BANGKOK, 18 Jan – Sepasang suami isteri mati ditembak di sebuah kebun getah di Kampung Batas Tinggi, Mukim Kota Teras di daerah Raman yang terletak di wilayah bergolak, Yala, selatan Thai.

Kapten Polis Chamnont Keawpimpl berkata, kejadian dipercayai berlaku pada pukul 5 pagi itu telah menyebabkan kedua-dua mangsa dikenali Ma-il Leemada-I, 60, dan isterinya, Bidoh Leemada-I, 60, mati di tempat kejadian.

“Mayat pasangan suami isteri itu ditemui berhampiran motosikal mereka. Mangsa telah ditembak dari jarak dekat,” katanya kepada media di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, saksi di tempat kejadian mendakwa melihat mangsa menunggang motosikal menuju ke kebun getah sebelum terdengar beberapa das tembakan senjata api dan menemui mayat mereka.

Pihak polis kata Chamnont masih menyiasat motif kejadian terbabit sama ada ia berpunca daripada masalah peribadi atau akibat pergolakan bersenjata di selatan Thai.

Konflik bersenjata di antara kumpulan pemisah dan pasukan keselamatan Thai di wilayah selatan negara itu yang majoriti penduduknya beragama Islam telah mengorbankan ribuan orang. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA