Pasangan warga Thailand terlepas hukuman penjara

Pasangan warga Thailand terlepas hukuman penjara

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151112_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Pasangan dari Thailand terlepas daripada menjalani hukuman penjara setelah membayar denda yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki minuman keras dan rokok yang tidak diisytiharkan.

Somdee Phoowarat, 53, berdepan pertuduhan memiliki 32 botol arak, sembilan tin minuman keras, dua karton dan 12 paket rokok di sebuah rumah di Kampung Mata-Mata pada 31 Oktober 2015.

Dia terlepas daripada menjalani empat bulan penjara apabila membayar denda $4,000 yang dijatuhi oleh Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin.

Wipa Piemkatok, 46, juga terlepas daripada hukuman penjara selama dua minggu apabila membayar denda $500 atas kesalahan memiliki dua botol arak dan 24 tin minuman keras tanpa permit, juga di alamat dan tarikh yang sama.

Kertas pertuduhan menyebut, pegawai pencegah kastam yang membuat serbuan di kediaman defendan menemui rokok dan minuman keras itu disimpan dalam stor makanan, almari dan bilik tidur.

Somdee mengaku rokok dan minuman keras itu adalah untuk majlis yang akan diraikannya bersama rakan-rakannya manakala minuman keras yang dimiliki Wipa adalah untuk dirinya sendiri.

Majistret Kanan memerintahkan kesemua barang dalam senarai rampasan itu diserahkan kepada kerajaan.