Pasar amal sumbang derma

Pasar amal sumbang derma

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Usaha untuk melahirkan warga muda atau belia yang sentiasa peka terhadap golongan yang memerlukan dan menanamkan semangat kesukarelawan dalam kalangan warga muda itu, harus dimulakan pada usia muda dan ketika mereka di bangku sekolah lagi.

Sehubungan itu, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), A-Team dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru Maktab Anthony Abell (PIBG AAC) 2016, telah mengadakan Pasar Amal As-Souq Al-Majani, yang berlangsung di Lobi Kampus Atas, AAC, Seria, kelmarin.

Hadir bagi merasmikan kegiatan amal sehari itu dan menyempurnakan penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan anak-anak susah ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman.

Pasar amal itu merupakan salah satu kegiatan yang dirancang untuk dilaksanakan oleh PRS/A-Team dengan kerjasama pihak PIBG AAC 2016 di mana kegiatan amal itu mengetengahkan dua konsep utama iaitu konsep penyumbang dan konsep penerima.

Menurut pihak penganjur, setiap penyumbang boleh menyumbangkan sama ada barang-barang baru, barang terpakai yang masih elok, barang makanan kering atau dalam tin serta barang keperluan seharian.

Haji Haris menyampaikan sijil dan cenderahati penghargaan kepada para wakil penyumbang pada majlis berkenaan.
Haji Haris menyampaikan sijil dan cenderahati penghargaan kepada para wakil penyumbang pada majlis berkenaan.
Haji Haris menyampaikan sumbangan derma kepada para penerima.
Haji Haris menyampaikan sumbangan derma kepada para penerima.

Sementara itu, penerima bagi sumbangan berkenaan ialah seramai 300 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak yatim dan anak daripada keluarga susah.

Pihak penganjur turut menyatakan penghargaan kepada pihak swasta yang berbesar hati menyumbang dan menyokong projek amal berkenaan termasuk Syarikat Massutera Engineering Sdn Bhd, Syarikat Ya Nur Trading Company Sdn Bhd, Syarikat Adinin Works and Engineering Sdn Bhd, Syarikat MOC Sdn Bhd, Syarikat Suasana Mentari Engineering Services, Syarikat Radims Fisheries Trading Company, Syarikat RYS Entertainment, Syarikat Haji Junaidi Taha dan Anak-anak, Syarikat Yick Fatt dan Syarikat Sekolah Memandu Dayang Liyana binti Abdullah.

Kegiatan pasar amal itu dihasratkan untuk melatih ahli-ahli PRS/A-Team dengan sifat dan sikap kepimpinan, memupuk sikap tolong-menolong, bekerjasama sesama ahli dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan secara sistematik dan teratur, menggunakan kaedah kegiatan khidmat masyarakat sebagai salah satu cara menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta mengeratkan silaturahim di antara warga sekolah.

Di samping itu, ia juga diharapkan dapat memberikan manfaat kepada penyumbang dan penerima hasil daripada kegiatan amal itu, selain mendukung hasrat Jabatan Perkhidmatan Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya ACC untuk melahirkan ahli PSR/A-Team yang berkaliber dan berwibawa di samping mempunyai sifat-sifat positif yang dikehendaki sejajar dengan matlamat penubuhan PRS.

ARTIKEL YANG SAMA