Pasar Malam Ria Tutong dibuka

Pasar Malam Ria Tutong dibuka

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 30 Okt – Dengan hasrat untuk memberikan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan khususnya penduduk Daerah Tutong, Jabatan Daerah Tutong menganjurkan Pasar Malam Ria Tutong yang bermula pada 29 Oktober, di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.

Seramai 20 peniaga Daerah Tutong ikut serta di Pasar Malam Ria Tutong yang diadakan setiap Khamis, Sabtu dan Ahad pada setiap bulan bermula pukul 5 petang hingga 11 malam dengan beraneka jenis jualan termasuk makanan dan minuman, makanan salai dan pakaian.

Pasar Malam Ria Tutong diadakan bertujuan untuk mengambil sukut awal bulan Muharram 1437 dan mengumpulkan pengusaha-pengusaha di Daerah Tutong yang berminat dan mempunyai produk-produk makanan yang berpotensi untuk dikembangmajukan termasuklah pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana serta majlis-majlis perundingan mukim dan kampung di Daerah Tutong.

Selain itu, Pasar Malam Ria Tutong juga dihasratkan untuk membuka lebih banyak peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan bagi menambah pendapatan penduduk dan masyarakat Daerah Tutong.

Usaha itu adalah bertepatan dengan inisiatif untuk memeriahkan lagi suasana malam di Pekan Tutong dalam mendokong usaha menjadikan Daerah Tutong sebagai Daerah Destinasi.

Penyertaan Pasar Malam Ria Tutong akan dikembangkan dan dibukakan lagi penyertaannya kepada para peniaga.

Peniaga-peniaga yang berminat untuk ikut serta bolehlah mendapatkan borang penyertaan dari Unit Pelesenan, Tingkat 2, Jabatan Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA