Pasar raya di Miri rugi RM474,000 disamun perompak

Pasar raya di Miri rugi RM474,000 disamun perompak

MIRI, 5 Mei (Bernama) – Sebuah pasar raya terkenal di sini kerugian RM474,000, Selasa apabila perompak bersenjatakan selaras senapang patah menyamun wang hasil perniagaan yang sedang dibawa oleh pengawal keselamatan untuk disimpan di bank.

Timbalan Ketua Polis Miri, Supt Stanley Jonathan Ringgit berkata, pengawal keselamatan terbabit mengalami kecederaan di telinga kiri kerana dihentak oleh perompak menggunakan belakang senapang dalam kejadian tersebut pukul 11.55 pagi.

Beliau berkata perompak kemudiannya terus melarikan diri bersama wang samun menggunakan sebuah skuter.

“Semasa kejadian, pengawal keselamatan tersebut tidak membawa senjata. Ini kelemahan dan kelalaian syarikat kawalan keselamatan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Jonathan berkata, berdasarkan keterangan para saksi kejadian, suspek yang merompak tersebut dipercayai dua lelaki namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 iaitu rompak berkumpulan dan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan iaitu rompak bersenjata sehingga menyebabkan kecederaan.